Tuesday, September 30, 2014

Gunung Ontake meletus, 36 orang terbunuh



ASAP dan debu masih menyelubungi sekitar Gunung Ontake semalam.


KASO - Sebanyak lapan lagi mayat telah dibawa turun menggunakan helikopter tentera walaupun kerja-kerja mencari baki mangsa berhadapan dengan kesukaran dan terpaksa dihentikan sekitar pukul 1.30 petang (waktu tempatan) berikutan gunung berapi Ontake masih mengeluarkan gas toksik dan debu panas, kata jurucakap polis wilayah Nagano, Naofumi Miyairi semalam.
Sekurang-kurangnya 36 orang dipercayai terbunuh dengan empat daripada mereka telah dibawa turun dengan menggunakan helikopter tentera, manakala 24 yang lain masih berada di puncak gunung.
Siaran stesen televisyen Jepun, TBS menunjukkan sekumpulan tentera membawa mayat mangsa yang dimasukkan ke dalam beg mayat menaiki helikopter tentera yang mendarat di sebuah kawasan lapang untuk dibawa turun dari kawasan yang terjejas.
Mayat-mayat mangsa yang dibawa turun kemudian dikumpulkan di sebuah padang rumput untuk dibuat pengecaman oleh anggota keluarga mangsa yang telah berkumpul di situ.
"Keadaan di lokasi gunung berapi berbau gas sulfur serta asap yang masih tebal menyebabkan usaha mencari baki mangsa terpaksa ditangguhkan," kata seorang anggota penyelamat, Morimoto.
Media Jepun melaporkan ada antara mayat yang ditemui tertimbus dalam debu sehingga 50 sentimeter.
Sabtu lalu, Gunung berapi Ontake berketinggian 3,067 meter yang menjadi salah satu lokasi mendaki popular terletak 210 kilometer dari barat Tokyo telah meletus selepas kali terakhir ia meletus pada tahun 1979, namun tiada kematian dilaporkan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: