DIGELAR sebagai Bandar Digital Bercahaya, i-City di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor merupakan destinasi pelancongan tumpuan di Selangor. Buktinya, seramai 5.5 juta pengunjung berkunjung ke i-City sepanjang tahun lalu.
Selain cahaya lampu diod pemancar cahaya (LED) yang menerangi seluruh kawasan i-City, taman tema itu juga menawarkan pelbagai permainan berkonsepkan edutainmen yang sesuai untuk seisi keluarga.
Pameran patung lilin di Red Carpet, Trick Museum, Panggung Wayang 5D dan Roda Ferris pastinya menjadi lokasi yang wajib dikunjungi sekiranya berkunjung ke i-City.
Terbaharu, taman tema tersebut memperkenalkan tiga lagi tarikan di taman tema Fun World.
Taman tema tersebut terdiri daripada lapan tarikan utama seperti Red Carpet, Choo Choo Train, House Of Horror dan Space Mission.
Konsep taman permainan yang diperkenalkan di Fun World iaitu Itsy Bitsy, Jungle Adventure dan Fun Drive lebih sesuai untuk aktiviti riadah bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Pengurus Maklumat i-City, Tang Soke Cheng memberitahu, ketiga-tiga taman permainan itu memberi peluang kepada ibu bapa dan anak untuk beriadah seperti berada di alam fantasi.
Jelasnya, ketiga-tiga tarikan baharu itu juga dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 1 pagi setiap hari.
“Kebanyakan taman permainan dibuka dalam tempoh yang tertentu. Selain permainan untuk golongan dewasa yang sememangnya menjadi tumpuan di i-City, konsep Itsy Bitsy, Jungle Adventure dan Fun Drive direka khas untuk kanak-kanak.
“Sebagai contoh, konsep Fun Drive sama seperti memandu di jalan raya. Kanak-kanak perlu memandu di trek dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Selain bersuka-ria, aktiviti itu juga merupakan kaedah terbaik untuk memberi maklumat mengenai langkah keselamatan di jalan raya,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Alam serangga
Itsy Bitsy pula berkonsepkan taman permainan seperti alam serangga. Mr. Bee dan Mrs. Bee merupakan dua karakter utama di dalam taman itu yang juga merupakan sarang serangga itu.
Selain Kapal Lanun, kanak-kanak boleh menaiki kereta buaian yang menyeronokkan. Gim Kanak-Kanak merupakan sebuah gimnasium yang pastinya menguji ketahanan dan daya imbangan mereka sewaktu memanjat.
Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana anak-anak anda akan memakai kelengkapan keselamatan seperti abah-abah dan topi keledar sebelum memulakan aktiviti.
Jungle Adventure sama seperti konsep kereta bumper. Kanak-kanak boleh menaiki kereta dan melanggar antara satu sama lain. Uniknya, aktiviti ini diadakan di dalam kawasan tertutup tetapi bertemakan seperti berada di dalam hutan.
Selain itu, kanak-kanak juga dapat mengenali haiwan-haiwan liar yang berada di sekeliling trek.
Ketiga-tiga taman permainan tersebut akan dibuka kepada pengunjung bermula 13 September (Sabtu ini).
Selain taman permainan kanak-kanak, i-City juga memperkenalkan dua lagi tarikan di seksyen Bandar Digital Bercahaya iaitu Dancing Water dan Mist Fountain.
Dancing Water merupakan sebuah pertunjukan air selama 15 minit yang mengikut alunan muzik amat unik. Ia juga turut diselangi dengan cahaya lampu berwarna-warni.
Pertunjukan tersebut juga berada di tengah-tengah seksyen Bandar Digital Bercahaya yang merupakan lokasi pengunjung bermain pelbagai permainan.
Usai melihat pertunjukan itu, pengunjung boleh terus ke Mist Fountain yang merupakan sebuah kawasan pancuran air. Di kawasan tersebut, pengunjung dapat merasai udara sejuk seperti berada di puncak gunung.
Lebih menarik, pancuran air sentiasa bertebaran di segenap kawasan untuk menambahkan rasa dan mood seperti berada di tanah tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: