KUNJUNGAN ke pekan lama di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang membuatkan kru Kosmo! seolah-olah berada di set penggambaran era 50-an. Reka bentuk bangunan yang masih utuh berdindingkan papan dan atap zink memberikan nostalgia yang mungkin sukar diperoleh di tempat lain.
Kira-kira 500 meter sebelum masuk ke pintu gerbang pekan itu, pemandangan sekitar dihiasi suasana mendamaikan berlatarkan sebatang sungai dengan pepohon kelapa yang melambai-lambai.
Ia seperti menyambut kedatangan pelancong ke bekas tapak perlombongan bijih timah terdalam dan terbesar di dunia sejak tahun 1891 itu. Meskipun lebih 100 tahun sudah berlalu, Sungai Lembing masih mengekalkan keunikannya yang tersendiri.
Usai melewati deretan kedai itu, kenderaan dipacu laju ke destinasi penginapan yang dicari-cari. Semuanya gara-gara tertarik dengan gambar yang dikongsi di laman sosial Instagram dengan hashtag #timecapsuleretreat yang ditemui secara tidak sengaja.
Terlindung dalam rimbunan rimba melengkapi landskap alam semula jadi yang memagari kapsul-kapsul penginapan di hotel Time Capsule Retreat, pengunjung berpeluang menikmati detik percutian yang bebas daripada hiruk-pikuk kota dan hanya ditemani bunyi unggas hutan hujan tropika.
Kembali kepada alam sekitar, mungkin itu konsep yang ingin diketengahkan oleh pemiliknya, Tan Siow Lan, 54, yang juga berasal dari Kuantan.
Pengunjung harus bersedia melakukan segala-galanya di lokasi berasingan seperti melabuhkan mata di dalam kapsul, membersihkan diri di bilik air luar dan menyediakan santapan sendiri di ruang dapur yang disediakan.
Bagi mereka yang lebih selesa tidur di tempat penginapan tradisional, masih berpeluang berbuat demikian di banglo dengan seni bina Inggeris terletak tidak berapa jauh dari kapsul tersebut.
Bagaimanapun, secara peribadi penulis mencadangkan agar pengunjung mengalami sendiri pengalaman tidur di dalam sebuah kapsul yang hanya boleh memuatkan dua orang pengunjung.
“Setakat ini, kami memiliki lapan kapsul dan tujuh bilik lain di rumah kotej yang boleh memuatkan seramai 40 orang pada satu-satu masa. Di rumah kotej, terdapat dua jenis bilik iaitu bilik Standard untuk dua orang yang berharga RM118.
“Bilik Superior pula boleh memuatkan empat orang pengunjung dengan tawaran harga RM198. Caj RM30 pula dikenakan bagi setiap katil tambahan yang digunakan,” jelasnya ketika ditemui di hotel tersebut baru-baru ini.
Selain tarikan penginapan yang unik, pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik yang terdapat di sekitar Sungai Lembing seperti berkelah di Air Terjun Pelangi, mendaki Bukit Panorama, Muzium Sungai Lembing dan menunggang kenderaan pelbagai permukaan (ATV).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: