Friday, June 6, 2014

Azizi kembali dengan lagu Ketuhanan


  • AziziAzizi

SELEPAS sekian lama menyepi, bintang realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Ahmad Azizi Mohamed atau lebih mesra disapa dengan Azizi kini membuat kemunculan semula dengan mengeluarkan single terbaharunya, Jauh Sudah, awal tahun lalu.
Mengulas lanjut mengenai single itu, Azizi memberitahu, Jauh Sudah bertemakan ketuhanan dan kerohanian tetapi berkonsepkan moden rock hasil ciptaan dan lirik sepenuhnya daripada Ippo Hafiz manakala susunan muziknya pula dibuat oleh AG Coco.

"Suatu ketika dulu, saya pernah berhasrat untuk menyanyikan lagu yang bergenre sebegini, tetapi baharu kini dapat merealisasikannya," katanya kepada Zass ketika ditemui dalam satu sesi fotografi.

Tambahnya, setelah mendengar lagu berkenaan buat pertama kalinya pada Ramadan lalu, dia menyifatkan ia ada membawa makna tersendiri buat dirinya.

"Saya tertarik dengan melodi dan liriknya. Lagu ini seolah-olah ada kena-mengena dengan saya yang sudah 12 tahun berada dalam bidang seni. Bahkan, sebelum ini, saya pernah terfikir adakah saya layak untuk menyanyikan lagu berkonsep ketuhanan.

"Tetapi, tiba-tiba saya diberikan lagu ini dan ia sangat terkesan.

"Boleh dikatakan perasaan saya sebak setiap kali bercerita dan menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah sudah ada stesen radio yang mainkannya setiap kali sebelum azan," katanya.

Bahkan, katanya, dia juga tidak berniat hendak bersaing dengan mana-mana artis kerana apa yang dilakukan adalah untuk memeriahkan dunia seni tanah air.

Jelas Azizi, modal untuk pembikinan lagu ini dikeluarkannya sendiri manakala syarikat rakaman Universal Music pula bertindak sebagai pemilik untuk nada dering dan pengedar.

Sebelum ini, Azizi pernah mengeluarkan album solo pada 2004, Kau Duniaku sejurus tamat pengajiannya di AF1 dan kemudiannya tampil dengan album mini iaitu Ahmad Azizi pada 2010.

Masih aktif

Biarpun menyepi dalam industri hiburan, itu tidak bermakna Azizi sudah melepaskan mikrofon sebaliknya dia masih lagi aktif menyanyi di tanah kelahirannya di Kuantan, Pahang.
Malah, pemilik My Baby Studio ini juga sangat bersyukur kerana terlibat dalam AF kerana ia adalah platform yang sesuai baginya memperkenalkan diri kepada peminat.

"Saya masih lagi menyanyi seperti biasa sehingga sekarang.

"Apabila tawaran berkurangan, saya beralih arah jadi pengacara majlis pula di seluruh negara dan Alhamdulillah pendapatan ini cukup untuk menampung hidup," katanya yang kerap melakukan aktiviti amal.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 37 tahun ini juga mengakui masih lagi belum berpunya dan menyerahkan soal jodohnya kepada takdir ALLAH SWT.

"Pasal jodoh... saya berserah segala-galanya pada Dia," katanya yang mengimpikan wanita yang simple, pandai menyesuaikan diri, berpendidikan agama dan mengutamakan keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: