Friday, June 6, 2014

Nora: Tiada istilah merajuk


  • NoraNora

PEJAM celik-pejam celik tahun ini, genaplah dua dekad usia penglibatan penyanyi balada terkenal, Nora, dalam industri seni suara.

Mula mempertaruhkan album Sandiwara pada 1994, pemilik nama sebenar, Wan Norafizah Ariffin, ini pernah menjuarai beberapa anugerah termasuk Artis Baru Terbaik (Wanita) di Anugerah Industri Muzik (AIM2) pada 1995 dan Lagu Terbaik di AIM3 (1996) menerusi lagu, Jentayu.

Malah, sepanjang dua dekad, lebih daripada lapan anugerah yang berjaya dirangkul penyanyi kelahiran Kota Bharu ini.

Pun begitu sejak akhir-akhir ini, kelibat Nora jarang dilihat di kaca televisyen mahupun dalam anugerah-anugerah tempatan.

Tidak kurang juga yang menganggap, ibu kepada empat cahaya mata ini seakan merajuk dalam industri yang satu ketika dahulu pernah memahat memori indah buatnya.

Namun, bagi pelantun lagu, Hanyalah Satu, ini tiada istilah merajuk dalam kamus hidupnya.

"Saya tidak pernah merajuk dengan industri sebenarnya. Walaupun sudah tidak muncul di kaca televisyen, saya masih lagi aktif dengan persembahan-persembahan di luar," katanya.

Tambah Nora, dia kini sedang dalam proses untuk melakukan 'comeback' dan masih lagi mencari bahan-bahan yang sesuai untuk dimuatkan dalam album itu.

“Insya-ALLAH, memang sekarang saya dalam perancangan untuk album baharu dan kami masih lagi mencari bahan yang sesuai.

"Konsep yang saya akan bawak masih balada cuma bezanya ialah akan ada lagu yang berunsur kedamaian dan ketuhanan.

"Jiwa saya amat sebati dengan balada, malah bila menyanyikan lagu-lagu sebegitu, saya rasa begitu dekat," katanya lagi.

Antara kerjaya, keluarga

Menggalas tugas sebagai ibu, isteri dan selebriti bukanlah satu perkara mudah. Malah, setiap daripadanya memerlukan keseimbangan agar ia kekal terurus.

Pun begitu, bagi Nora, walaupun kerjaya juga perlu diberi keutamaan, namun prioritinya masih kepada anak-anak dan keluarga.

"Rahsia untuk menjadi penyanyi yang berjaya ialah disiplin dan pengurusan masa. Sekiranya saya dipanggil untuk membuat persembahan, saya akan susun jadual untuk latihan vokal.

"Namun, dalam masa yang sama, masa bersama keluarga tidak akan disia-siakan begitu sahaja. Setiap orang mempunyai cara berbeza dalam mendidik anak.

"Bagi saya, setiap perbuatan yang kita lakukan itu merupakan didikan bagi anak-anak dan saya bertuah kerana mempunyai suami dan anak yang sentiasa memahami kerjaya saya,” tambahnya lagi.

Pasaran besar UCPK

Siri animasi muzikal tiga dimensi (3D), Ummi... Ceritalah Pada Kami (UCPK), terbitan Hud Hud Media Sdn Bhd sememangnya mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak ditayangkan di TV3 dua tahun lalu.

Dek sambutan hangat itu, pihak penerbitan berhasrat untuk meluaskan lagi pasaran mereka ke luar negara.

"Idea itu timbul berikutan ketiadaan program kanak-kanak seumpama itu milik syarikat tempatan untuk memberi pendidikan sambil berhibur.

"Ummi dilihat mampu menjadi landasan untuk anak-anak berhibur dan menghayati kisah yang diambil dari al-Quran dan Hadis. Dunia memerlukan ‘content’ seperti ini,” kata Nora yang juga pengasas UCPK dan Pengarah Hud Hud Media Sdn Bhd.

Jelas Nora, menariknya, animasi ini turut menyelit muzik dan lagu-lagu yang menghiburkan serta memberi pengajaran kepada anak-anak untuk membentuk nilai murni.

"Animasi ini turut mendapat sokongan daripada MdeC, Matrade, Cradle, WRC, CCAM, MyNEF dan GCMA.

"Malah, UCPK juga bakal dieksport ke 27 negara, antaranya Indonesia, Brunei, Kenya dan Mesir," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: