|
SEBELUM ini, pelakon yang lahir daripada rancangan realiti Anak Wayang (2009), Amar Baharin pernah digosipkan bercinta dengan pelakon jelita, Erra Fazira.
Malah, pelakon berusia 29 tahun itu juga pernah dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga Erra bersama Engku Emran.
Bagaimanapun, pelakon berusia 29 tahun itu sudah menafikannya dan menganggap gosip yang timbul disebabkan gandingannya bersama pelakon itu menerusi drama Shopaholic arahan Erma Fatima.
Reda dengan sebarang kontroversi cinta selepas itu, Amar yang ditemui di lokasi penggambaran drama Kerana Terpaksa Aku Relakan di Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini ada meluahkan perasaan mengenai gosip yang mengaitkan Erra dengan penyanyi Shahir.
Ikuti luahan kata-kata Amar itu kepada Kosmo!.
Kosmo!: Boleh kongsikan mengenai watak Amar dalam drama Kerana Terpaksa Aku Relakan arahan Azma Aizal Yusoof?
AMAR: Saya membawakan watak sebagai Tajul Razin, anak sulung dalam keluarga kaya. Drama ini merupakan adaptasi daripada novel karya Umie Nadzimah dengan judul yang sama. Dalam drama ini saya berlakon di samping Izreen Azminda, Syafiq Kyle, Iqram Dinzly, Ika Nabella dan Nadia Aqilah.
Adakah anda gementar membawakan watak Tajul yang menjadi kegilaan pembaca novel Kerana Terpaksa Aku Relakan?
Sudah tentu penonton, lebih-lebih lagi mereka yang membaca novel tersebut menaruh harapan yang tinggi terhadap watak Tajul. Walaupun tidak begitu gemar membaca novel tetapi saya terpaksa membacanya demi membina watak Tajul yang disukai penonton. Memang pada mulanya agak takut sebab karakter itu besar dan ia menjadi kegilaan pembaca namun setelah mendapat reaksi yang baik daripada penonton, saya berasa lega.
Adakah watak Tajul menyamai diri sebenar anda?
Saya bukan anak orang kaya dan hidup mewah.
Bagaimanakah perasaan anda dapat bekerjasama dengan Izreen dan Azma?
Saya rasa diri cukup kecil kerana kedua-dua mereka pernah memenangi anugerah di bidang masing-masing. Izreen dan pengarah, Azma banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan. Bila pasangan memberi sudah tentu kita akan memberi lebih banyak lagi dalam lakonan. Saya juga serasi berlakon bersama Izreen. Kami bercinta dalam drama ini. Pengalaman putus cinta dan tidak ingin lagi memikirkan mengenai wanita sedikit sebanyak membantu saya mendalami watak Tajul.
Adakah pengalaman putus cinta yang dimaksudkan itu berkaitan Erra?
Tiada kena mengena dengan Erra. Maksud saya pengalaman bercinta di zaman universiti dahulu. Saya pun tidak tahu kenapa saya dikaitkan dengan dia (Erra).
Bagaimanakah gosip timbul mengatakan anda pergi ke Eropah bersama Erra?
Kami ke sana (Eropah) bukan berdua sebaliknya bersama 11 orang artis lagi bagi menjayakan drama arahan Erma Fatima.
Apakah perasaan anda apabila kini Erra dikaitkan dengan Shahir. Adakah anda lega selepas ini nama anda tidak lagi dikaitkan dengan Erra?
Saya tidak mahu campurlah. Biarlah dia (Erra) hendak bercinta dengan sesiapapun. Saya doakan kebahagiaan dia.
Baiklah. Beralih pada soalan lain. Kenapakah nama anda tidak begitu popular walaupun sudah membintangi banyak drama?
Mungkin saya tidak diberikan peluang macam ini (pegang watak utama dalam slot drama popular). Ini baru pertama kali TV3 hubungi dan tawarkan watak utama kepada saya. Peluang yang hadir seperti ini tidak akan disia-siakan dan saya akan buktikan kemampuan lakonan saya.
Sedih atau tidak nama tidak begitu popular?
Saya tidak sedih. Itu rezeki yang Allah bagi pada saya. Bagaimanapun saya bersyukur, sejak keluar Anak Wayang tawaran berlakon sentiasa ada.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: