• Terima 40 'anak baharu'Projek Agropolitan Besut-Setiu di Panchur Bederu, Setiu sehingga kini telah melahirkan kira-kira 40 ekor anak biri-biri dorper.

SETIU - Projek Agropolitan Besut-Setiu  di Panchur Bederu, Langkap, di sini, yang beroperasi sejak sembilan bulan lalu membabitkan penternakan biri-biri dorper sudah pun membuahkan hasil dengan kelahiran ‘anak pertama’ pertengahan Disember tahun lalu.

Malah, projek dibangunkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu sehingga kini telah melahirkan kira-kira 40 ekor anak biri-biri.

Ketua peserta, Mahasan Muhammad, 48, berkata, kelahiran anak biri-biri itu memberi erti kepada peserta terlibat apatah lagi mereka yang terpilih menyertai projek itu bagaikan mendapat lembaran baharu dalam hidup.

Menurutnya, Projek Agropolitan Besut-Setiu mempunyai 94 peserta yang dipilih daripada senarai e-Kasih bagi membantu mereka dari keluarga miskin meningkatkan taraf ekonomi hidup.

“Biri-biri dorper yang diternak sejak Jun tahun lalu telah pun lahirkan anak pertengahan Disember lalu dan jumlahnya semakin bertambah menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 40 ekor anak.

“Terpilih sebagai peserta di sini sebenarnya titik permulaan kepada kami untuk mengubah kehidupan ke arah lebih selesa kerana projek ini membantu kami meningkatkan pendapatan masing-masing,” katanya ketika ditemui, di sini.

Projek Agropolitan Besut-Setiu dilaksanakan atas tanah seluas 236 hektar merangkumi penempatan peserta, kemudahan asas, kawasan penanaman rumput Napier, kawasan ragut dan kandang bagi 4,680 ternakan (setakat September 2013).

Projek berkenaan merupakan yang ketiga diperkenalkan ECER selepas projek Agropolitan Pekan di Pahang dan Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat serta menjana perkembangan ekonomi setempat.

Difahamkan, peserta yang dahulunya bekerja sebagai petani dan nelayan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM350 hingga RM500 sebulan, kini mampu meraih sehingga RM1,200 sebulan hasil menyertai projek berkenaan.