Saturday, February 15, 2014

Tempahan siap kurang 24 jam

Syarikat pencetakan pusat sehenti Achik Sdn. Bhd. yang beroperasi sejak sembilan tahun lalu mampu menawarkan pelbagai khidmat percetakan. Sistem nombor giliran antara kaedah yang digunakan supaya pelanggan mendapat layanan yang adil dan terbaik.


MEMBAWA beberapa gulung kertas kajang, Asma Ahmad, 32, duduk menunggu hampir sejam untuk mendapatkan perkhidmatan rekaan grafik daripada pekerja berbakat di syarikat pencetakan, Achik Sdn. Bhd. (Achik) di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pegawai Pemasaran syarikat perumahan, Sri Binaman itu seringkali menjeling nombor di paparan skrin untuk memastikan dia tidak terlepas nombor gilirannya.
Menurut Asma yang sabar menunggu, syarikatnya merupakan pelanggan setia kedai cetakan tersebut dan biasa membuat tempahan kad nama dan risalah sejak tahun 2009.
"Saya membawa bersama contoh rekaan syarikat sendiri supaya pereka grafik tidak mengambil masa yang lama dan mereka hanya perlu membaiki apa yang perlu.
"Saya tidak kisah menunggu kerana hasil yang diperoleh sangat memuaskan dan kami juga selalu membuat tempahan kad nama, justeru mereka turut menyimpan rekod kami di sini untuk kegunaan masa hadapan," kata anak kelahiran Kedah ini.
Tambahnya, urusan yang sistematik di kedai tersebut turut menjadi antara punca syarikatnya menjadi pelanggan setia pusat cetakan Achik.
Sistem giliran
"Di sini tidak seperti kedai cetakan yang lain kerana ia mempunyai sistem nombor giliran dan pembahagian kaunter mengikut jenis perkhidmatan.
"Selain itu, turut disediakan kemudahan untuk pelanggan seperti tandas awam yang bersih dan selesa," jelasnya yang akan ke kedai Achik tiga kali setahun bagi mendapatkan perkhidmatan rekaan dan cetakan risalah.
Asma memberitahu, syarikatnya akan membuat tempahan risalah di Achik sekurang-kurangnya 1,000 salinan pada setiap awal tahun.
Menurut pemilik kedai cetakan pusat sehenti itu, Mazni Fadzil, 36, dia sentiasa memikirkan tentang keperluan pengguna termasuk perkhidmatan dan kemudahan.
"Kedai yang berslogan One Stop Printing Centre ini menyediakan 25 jenis perkhidmatan melibatkan penggunaan kertas, cap getah, cakera padat, baju dan nombor plat.
"Selain menyediakan pelbagai perkhidmatan, saya turut menitikberatkan keperluan pengguna yang terpaksa menunggu seperti surau, tandas dan sofa," katanya yang meminati dunia perniagaan sejak berusia 12 tahun.
PERKHIDMATAN rekaan grafik antara keunikan pusat sehenti pencetakan Achik.


Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah pusat internet, cetakan, reka grafik, kedai alat-alat tulis, kain rentang, pengimbas dokumen, papan tanda, tempahan baju dan plat kereta. Tempahan yang dibuat oleh pelanggan pula dijanjikan siap dalam tempoh kurang 24 jam.
Penubuhan
Menceritakan kisah penubuhan kedai sehenti itu, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu memberitahu, Achik dibuka secara rasmi pada tahun 2005 dengan modal kecil.
"Saya memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM25,000 dan sekarang syarikat ini mengeluarkan modal pusingan sebanyak RM6 juta setiap bulan bagi menampung pembelian bahan-bahan pencetakan.
"Pada permulaan, kedai ini hanya memiliki 10 buah komputer, namun kini saya menyediakan 31 buah komputer meja, lebih 20 mesin jenama Xerox dan peralatan-peralatan pencetakan," jelasnya.
Dalam pada itu, Mazni yang lebih mesra dipanggil Achik berkata, rahsia kejayaan syarikatnya ialah bekalan bahan mentah seperti dakwat dan kertas diperoleh secara terus dari China.
"Harga di China lebih murah berbanding dalam negara. Bagaimanapun, peniaga mesti bijak memilih pembekal bagi mengelakkan penipuan seperti produk rosak atau kualiti rendah.
"Keadaan tersebut antara faktor penghalang, lebih-lebih lagi bagi masyarakat Melayu untuk berjaya dalam dunia perniagaan kerana sering ditipu pembekal sekali gus berasa serik untuk berniaga, " jelasnya.
Bagaimanapun, sejak empat tahun lalu, pusat cetakan Achik mula menampakkan kredibiliti sehingga mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat korporat untuk menyediakan dokumen bernilai ratusan ribu ringgit.
Namun, keuntungan yang diperoleh tidak terus dinikmati, sebaliknya Achik melaburkannya dengan membeli tiga lot kedai sekali gus membentuk wisma yang kini menjadi ibu pejabat syarikat tersebut.
Kejayaan pada hari ini hanya dikecapinya selepas sembilan tahun membanting tulang dan setiap titik peluhnya akhirnya berbaloi dengan jumlah aset pencetakan mencecah RM1.2 juta.

PELANGGAN diberi perkhidmatan di kaunter mengikut nombor giliran masing-masing.


Kepercayaan
Selain di Taman Melawati, Achik mempunyai cawangan di Klang Gate, Setapak; Wangsa Maju dan Cheras, Kuala Lupur, manakala di Selangor pula di Kolej Islam Antarabangsa, Batu Caves dan Institusi German Malaysia, Bangi.
Sehingga kini, Achik mempunyai kira-kira 70 orang pekerja yang terdiri daripada pereka grafik, pengurus seliaan mesin, pegawai pemasaran, pekerja pusat internet dan kedai alat-alat tulis.
Salah seorang pekerjanya, Fazli Lon, 27, berkata, dia telah bekerja di pusat cetakan itu selama dua tahun sebagai pereka grafik yang memerlukan khidmat profesional.
Menurut Fazli yang merupakan graduan sarjana muda daripada Universiti Malaysia Kelantan, dia akan membuat rekaan grafik sekiranya pereka grafik kaunter hadapan memerlukan pertolongan.
"Sesetengah pelanggan meminta rekaan grafik bagi risalah dan kulit buku keras yang terlalu rumit untuk disiapkan dalam tempoh masa satu jam seperti yang diperuntukkan oleh polisi syarikat ini.
"Jadi, saya akan mengambil alih rekaan tersebut bagi mengelakkan pelanggan menunggu terlalu lama dan hasil yang diberikan kepada pelanggan juga berkualiti," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Lantai Achik Internet Cafe, Mohd. Fitri Abd. Rahim, 28, tidak lokek berkongsi pengalamannya selama hampir 13 tahun bekerja di situ.
"Kesabaran adalah kunci kejayaan untuk terus berkhidmat di kedai ini kerana kebanyakan pelanggan berharap bahan cetakan mereka dapat disiapkan pada kadar segera.
"Kadang-kadang kami dihamburkan dengan kata-kata kesat oleh pelanggan yang tidak faham tentang kerumitan kerja-kerja rekaan grafik atau pesanan diterima terlalu banyak pada satu-satu masa.
"Bagaimanapun, kami tetap melayan mereka dengan senyum dan berusaha memberikan khidmat yang terbaik," katanya.
Tahun lalu, pusat percetakan Achik Sdn. Bhd. menerima sijil daripada pengeluar mesin salinan, Xerox sebagai usahawan pertama memiliki mesin Xerox jenis Xerox docuwide c842, mesin inkjet warna di Malaysia. Syarikat ini turut menjadi gedung kertas bagi syarikat korporat seperti Jabatan Kerja Raya, Petronas, Pos Malaysia, Pusat Sains Negara, Maybank, Astro dan Takaful Malaysia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: