Thursday, February 20, 2014

Tanam sayur jimatkan kos

MEREKA yang tinggal di rumah pangsa juga berpeluang bercucuk tanam jika mereka ada kesungguhan. - Gambar hiasan


DALAM usaha kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup yang kini menjadi isu nasional, ada pengguna mengambil inisiatif menanam sayur-sayuran dan herba untuk keperluan sendiri di rumah.
Rata-rata pengguna terutama suri rumah mengakui, usaha itu sedikit sebanyak membantu mereka menangani beban sara hidup yang kian meningkat.
Aktivis alam sekitar, Ahmad Kamal Mohd. Ali berkata, pengguna yang mengamalkan aktiviti penanaman sayur di rumah dapat mengurangkan 20 peratus perbelanjaan bulanan.
"Aktiviti menanam sayur di rumah bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan, tetapi turut membantu memulihkan tanah bebas daripada bahan kimia.
"Pada masa sama, kegiatan menanam sayur untuk keperluan sendiri turut membantu melahirkan masyarakat berdikari yang menghasilkan sendiri tanaman mereka dan tidak bergantung kepada faktor luar untuk mendapatkan sayur-sayuran," katanya ketika dihubungi.
Beliau yang pernah mengikuti program Pertanian Asli anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggalakkan lebih ramai suri rumah mengamalkan menanam sayur di rumah kerana ia juga boleh dijadikan sebagai aktiviti senaman.
Tambah pendapatan
Suri rumah, Dalila Md. Dahalan, 40, berkata, aktiviti menanam sayur dan herba di rumah turut membantu menambah pendapatan bulanan hasil jualan sayur-sayuran itu.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, beliau bersama tujuh jirannya yang lain mengusahakan tanaman sayur seluas 0.4 hektar di kawasan perumahan mereka sejak empat tahun lalu.
"Kami belajar cara-cara menanam sayur daripada seorang kenalan yang pernah mengikuti program CAP. Dialah yang mengajar kami cara-cara tanam sayur secara organik dan menghasilkan baja sendiri.
"Memang tidak memerlukan modal yang besar. Sayur yang kami dapat pun bukan hanya untuk kegunaan sendiri malah kami boleh menjualnya kepada jiran setempat. Dalam sebulan kami boleh memperoleh RM20," katanya.
Dalila berkata, antara sayur yang ditanam ialah bayam, sawi, terung, bendi dan cili. Pada setiap Rabu mereka akan berkumpul membersih dan memantau kawasan kebun itu.
Sementara itu, pegawai pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata, CAP mengambil inisiatif mengadakan program itu untuk menggalakkan masyarakat menanam sayur-sayuran dan herba sendiri di rumah.
Program yang diperkenalkan sejak lapan tahun lalu itu pada mulanya bertujuan mendidik petani mengamalkan pertanian semula jadi dan organik yang lebih sihat.
Bagaimanapun, program itu mendapat perhatian daripada golongan suri rumah, pihak sekolah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mempelajari cara-cara menanam sayur-sayuran dan herba di rumah.
"Kami bukan sahaja mengajar peserta cara-cara menanam sayur malah mengajar mereka menghasilkan baja kompos daripada sisa dapur dan pertanian. Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah menghasilkan sayur-sayuran yang lebih segar dan bebas bahan kimia.
WANITA ini membuktikan meskipun tinggal di pangsapuri, dia masih boleh bercucuk tanam. - Gambar hiasan


"Program ini tidak terhad di Pulau Pinang, kadangkala kami menjelajah ke negeri lain atas jemputan pihak tertentu," katanya.
Hakikatnya, mengusahakan kebun secara kecil-kecilan di kediaman sendiri boleh menjadi alternatif bagi masyarakat bandar untuk meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Tanggapan sukar untuk berkebun di bandar mungkin tidak relevan kerana terdapat beberapa laman web dan akaun Facebook yang menyediakan tip bagi masyarakat bandar berkebun.
Antara laman web yang menawarkan panduan dan menyediakan ruang untuk berkongsi maklumat dan bertukar-tukar fikiran bagi mereka yang tinggal di bandar mengusahakan kebun sendiri ialah http://kebunbandar.com, Kelab Kebun Keliling Rumah dan semuamenjadi.blogspot.com.
Laman web kebunbandar.com dikendalikan pelajar sarjana muda Sains Hortikultur Universiti Putra Malaysia (UPM) Izham Alias. Laman blog dan akaun facebook berkenaan diwujudkan tahun lalu itu kini mempunyai lebih 640 anggota melalui akaun laman sosial Facebook, Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri.
Tanam bawang
"Kumpulan sokongan Jom Tanam Sendiri mengumpulkan para peminat yang suka bercucuk tanam di rumah, sama ada rumah teres, banglo, apartmen mahupun kuarters. Kumpulan ini adalah ruang bagi mereka mendapatkan maklum balas, tip dan pandangan berkenaan hortikultur dan perkebunan di Malaysia," kata Izham dalam akaun Facebook itu.
Antara maklumat bergambar yang dipaparkan dalam laman web dan akaun Facebook berkenaan ialah kaedah mudah menanam bawang merah di dalam pelbagai bekas di rumah dan menghasilkan sayur tauge di dapur sendiri dengan mencambah kacang hijau.
Tip lain yang dimuatkan pelbagai langkah untuk menanam sayur iaitu menyemai benih pada bekas semaian, memastikan pancaran matahari yang bersesuaian untuk pelbagai jenis sayur dan menentukan tanah campuran terbaik untuk menanam sayur di dalam bekas.
Satu lagi akaun Facebook yang menggalakkan masyarakat berkebun iaitu Kelab Kebun Keliling Rumah kini mempunyai lebih 4,600 anggota.
Antara gambar yang dikongsi di akaun Facebook itu mengenai tip menggunakan bekas kertas meletak telur sebagai tapak semaian benih jagung serta menanam kucai dan terung di rumah. Laman web semuamenjadi.blogspot.com pula mempunyai maklumat bergambar mengenai tanaman kunyit dan sayur bayam.


1 comment:

  1. huh mengkagumkan sawi pahit di tanam di bangunan tinggi. Mesti sawi pahit tu fefeling tumbuh di kwsn tanah tinggi. LOL

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: