Friday, February 21, 2014

Spider-Man adiwira Earth Hour


ACARA Earth Hour Blue bakal berlangsung secara besar-besaran di peringkat global menjelang 29 Mac depan.


BERSEMPENA dengan pelancaran Earth Hour Blue (e) baru-baru ini, World Wide Fund for Nature (WWF) dengan kerjasama Sony Pictures Entertainment mengumumkan pelantikan watak Spider-Man sebagai duta adiwira pertama pergerakan global tersebut.
Earth Hour Blue yang dilancarkan sebagai platform digital baharu crowdfunding (usaha dengan mengutip dana daripada sebilangan besar golongan orang awam melalui internet) dan crowdsourcing (mendapatkan maklumat atau mengenai sesuatu tugasan atau projek) bertujuan untuk mengalakkan orang ramai mengambil bahagian dalam acara bertaraf dunia itu pada pukul 8.30 malam, 29 Mac depan.
Menurut teraju utama siri filem bikin semula The Amazing Spider-Man, Andrew Garfield, dia berasa cukup bangga dan teruja apabila watak yang diadaptasi daripada siri komik terkenal itu dipilih sebagai duta Earth Hour.
Adiwira dalam diri
"Saya berasa bangga apabila Spider-Man telah terpilih sebagai jurucakap bagi acara Earth Hour. Ini menunjukkan bahawa kita semua mampu untuk menjadi adiwira dengan kekuatan yang kita ada.
"Sejak dianjurkan, Earth Hour merupakan sebuah pergerakan yang mendapat sambutan ramai. Bayangkan apa yang mampu dilakukan tahun ini apabila Spider-Man sama-sama menyokong pergerakan tersebut," katanya.
Dalam masa yang sama, menurut teman wanita Andrew, Emma Stone yang turut berlakon dalam filem arahan Marc Webb itu, pergerakan seumpama ini mampu menerapkan nilai-nilai murni kepada semua penduduk bumi tanpa mengira golongan dan batas waktu.
"Earth Hour merupakan satu pergerakan yang memberikan kekuatan bagi menyuntik inspirasi kepada semua penduduk di muka bumi ini.
"Perjalanan Earth Hour bukan hanya tertumpu pada satu jam penganjurannya sahaja. Ia lebih daripada itu. Banyak projek yang berguna bakal dibangunkan untuk keselesaan penduduk dunia," katanya.
ANDREW GARFIELD dirakam di set penggambaran filem The Amazing Spider-Man 2 di Brooklyn, Amerika Syarikat baru-baru ini.


Memelihara hidupan liar
Bahagian crowdfunding dalam platform baharu itu mampu menarik penyertaan orang ramai untuk mendermakan pelbagai barangan kepada orang yang memerlukan seperti membina perahu yang diperbuat daripada kaca fiber untuk menahan taufan di Filipina serta mengutip derma bagi membaik pulih Table Mountain National Park di Afrika Selatan.
Menurut Marc, Earth Hour dilihat sebagai sebuah medium terbaik bagi menyediakan peralatan-peralatan baharu yang mencukupi untuk keperluan Ranger WWF di Indonesia untuk memelihara dan memulihara hidupan liar di sana seperti harimau Sumatra, gajah, badak sumbu dan Orang Utan.
"Earth Hour merupakan sebuah pergerakan yang penuh dengan adiwira. Adiwira-adiwira ini merupakan orang awam yang menggunakan kuasa antara mereka untuk memberikan inspirasi antara satu dengan lain supaya dapat memberikan kebaikan pada perubahan planet bumi," jelasnya.
Sementara itu, Sony Pictures Entertainment akan turut serta bersama WWF-China dan projek Earth Hour Blue untuk menyediakan peralatan memasak bagi mengelakkan penebangan pokok secara berleluasa dan mengganggu habitat semulajadi panda.
Melalui usaha itu, studio berkenaan bakal menerima ofset karbon Gold Standard yang dibina berdasarkan rupa bentuk produksi fizikal The Amazing Spider-Man 2. Mereka turut menerima carbon-neutral untuk kegunaan jelajah publisiti.
"Idea Earth Hour telah berkembang di luar jangkaan. Tahun ini, dengan kemunculan Spider-Man, kita membawakan pergerakan ini ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kami berharap agar watak adiwira ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada setiap individu untuk bergelar adiwira planet dan menggunakan suara atau wang untuk membantu menjayakan projek ini.
"Inilah matlamat Earth Hour Blue yang sebenar," kata Ketua Pengawai Eksekutif dan merangkap Pengasas Bersama Earth Hour, Andy Ridley.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: