• 'Sihir cinta' kian menularMohd Hafi z merawat salah seorang pesakitnya yang terkena sihir di Pusat Perubatan Tradisional Islam Al-Rukyah.

PASIR PUTEH - Tidak berpegang teguh kepada ajaran agama dilihat sebagai faktor menyebabkan orang ramai cenderung membuat khianat dengan menggunakan sihir ke atas orang yang tidak disenanginya.

Perawat Pusat Perubatan Tradisional Islam Al-Rukyah, Mohd Hafiz Nor berkata, sepanjang tujuh tahun penglibatan secara serius dalam perubatan Islam, kes ‘sihir cinta’ merupakan yang terbanyak ditanganinya.

Katanya, mereka yang melakukan sihir tidak memikirkan kesannya dan azab menantinya di akhirat kelak kerana itu merupakan dosa besar.

Katanya, antara tujuan sihir itu dibuat adalah bagi merosakkan rumah tangga kerana orang yang disayanginya berkahwin dengan orang lain.

“Pelbagai cara dilakukan supaya bekas kekasih tidak bahagia kerana memilih orang lain sebagai teman hidup. Jika terkena sihir ini, lazimnya pasangan akan kerap bergaduh.

"Selain itu, ada sihir bertujuan ‘menipu pandangan’ sehingga orang yang disihir dilihat hodoh atau menakutkan dan ada satu kes di mana anak kecil menangis tidak mahu didekati ibu sendiri,” katanya.

Mohd Hafiz atau lebih dikenali sebagai Tok Ayah berkata, sebelum ini sihir atau santau dikenakan kepada mangsa melalui makanan tapi kini ia beralih kepada menghantarnya melalui angin atau menggunakan gambar mangsa termasuk yang diperoleh dari laman sosial.

Bagaimanapun katanya, sihir tidak berkesan jika tidak diizinkan ALLAH dan umat Islam perlu sentiasa mendekati-Nya bagi mengelak diri menjadi mangsa.

Katanya, orang yang terkena sihir lazimnya mengalami sakit kepala pada waktu Asar dan ke atas, lesu, sukar tidur malam, mendengar bisikan dan merasakan ada sesuatu bergerak di bawah kulit.

“Dalam Islam, ada penyelesaian dan kami di Al-Rukyah merawat mereka yang terkena sihir dengan ayat-ayat al-Quran serta membuat rawatan susulan bagi memastikan sisa-sisa sihir bebas
sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, hasratnya adalah untuk memartabatkan al-Quran dalam perubatan selain menjadi perintis kepada perubatan alternatif yang melengkapi perubatan moden.

Sihir juga katanya, dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab ke atas musuh perniagaan sehingga pelanggan berasa tidak selesa berada di premis perniagaan terkena sihir.

"Kami pernah menangani kes yang mana pekedai mengadu pelanggan melihat kedainya tutup sedangkan pada hakikatnya kedai itu dibuka seperti biasa,” katanya.