Sunday, February 16, 2014

Sakit Kaki, Tidak Halang Shah Rukh Khan Pukau 10 Ribu Penonton


Shah Rukh Khan mempamerkan persembahan bertenaga walaupun kecederaan kakinya belum pulih. 
KUALA LUMPUR: Kecederaan pada kaki kiri yang masih belum sembuh tidak menghalang aktor Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan beraksi pada Konsert Temptations Reloaded in Malaysia yang berlangsung di Stadium Merdeka di sini pada malam Sabtu.
Shah Rukh Khan, 48, yang muncul membuat persembahan kira-kira pukul 9.30 malam itu ligat beraksi dengan tarian-tarian hebatnya menerusi lagu-lagu popular daripada filem lakonannya Don, Chennai Express dan My Name Is Khan.
"Saya tidak sangka menerima sokongan kuat daripada kalangan peminat-peminat di Malaysia.
"Walaupun kaki saya sakit, saya akan menghiburkan anda semua (penonton) sebaik mungkin. Kesakitan ini bukanlah satu alasan untuk saya menghiburkan anda semua," katanya sebelum meneruskan persembahan.
Seperti yang dijanjikan, Shah Rukh menari ligat bersama penari-penarinya.
Kemunculan Shah Rukh di pentas membuatkan para peminatnya tidak kira tua dan muda masing-masing bersorak memanggil namanya.
Rani turut tidak ketinggalan menghiburkan penonton.
Malah para penonton turut menyanyi dan menari bersama di tempat duduk mereka mengikut rentak lagu yang dipersembahkan.
Dalam pada itu, Shah Rukh Khan ramah melayan para penonton dengan memanggil beberapa peminat naik ke pentas berbual dan menari bersama-sama dengannya.
Sebelum itu, konsert bermula pada pukul 8.15 malam dengan kemunculan penyanyi jemputan tempatan, Goldkartz menyampaikan sebanyak empat buah lagu.
Kemudian, penyanyi rap India, Yo-Yo Honey Singh tampil membuat persembahan diikuti dengan persembahan tarian pelakon wanita popular, Rani Mukherji untuk 15 minit membawakan tarian daripada lagu-lagu popular filem yang pernah dilakonkannya.
Penyanyi Arijit Singh yang menyanyikan lagu-lagu runut bunyi pelbagai filem popular turut membuat persembahan.
Tarian ligat Mahduri memukau penonton yang hadir.
Kehadiran pelakon jelita, Madhuri Dixit turut membuatkan para penonton bersorak dengan kemunculannya menari di pentas.
Selain itu, Shah Rukh turut bergandingan dengan Madhuri serta Rani mempersembahkan tarian beberapa lagu daripada filem-filrm yang dilakonkan mereka bersama.
Antara lagu-lagu daripada filem popular yang dipersembahkan termasuklah Dil Se, Rawan, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Khabi Kushi Khabi Gham dan Mohabbatein.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Toh Puan Bendahara Kedah, Datin Seri Noor Suzana Abdullah dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Selain itu, selebriti Datuk Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa, Shila Hamzah dan Ifa Raziah turut hadir pada konsert tersebut.
Terdahulu, konsert ini sepatutnya berlangsung 11 Oktober 2013 di Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi terpaksa ditunda.
Ia berikutan pertembungan tarikh kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke negara ini namun kedatangan Obama itu dibatalkan.
Rombongan Shah Rukh tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pukul 7.40 pagi Jumaat lalu dari Mumbai, India.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: