KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu berasal daripada Indonesia, Faliant Ferdiant mengakui ingin mencuba nasib di industri muzik negara ini selepas hampir 24 tahun menetap di Johor Bahru.
Faliant, 31, berkata, biarpun belum mendapat taraf penduduk tetap, namun dia menganggap negara ini sebagai rumah pertamanya berbanding Indonesia.
"Saya pindah ke Johor pada usia tujuh tahun kerana mengikut keluarga yang menjalankan perniagaan di sana.
"Saya membesar di sini dan fasih berbahasa Melayu, malah setiap kali pulang ke Indonesia saya merasa seperti orang luar," katanya kepada mStar Online pada majlis pelancaran single pertamanya berjudul Antara Melati, di sini, Rabu.
Single Antara Melati merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer Donsyah dan diterbitkan oleh Natz Production.
Tambah Faliant, dia lebih mengikuti perkembangan muzik negara ini berbanding negara asalnya.
Bagaimanapun, dia mengakui pernah mencari tapak untuk memasuki pasaran negara tersebut, namun gagal kerana tidak menetap di sana.
"Saya pernah mencuba untuk ke pasaran Indonesia dan ada perbincangan dilakukan dengan syarikat rakaman di sana.
"Tapi mereka sukar menerima saya kerana saya tidak menetap di sana" katanya.
Dalam pada itu, bercakap tentang single Antara Melati, Faliant menjelaskan lagu tersebut berkisar mengenai pilihan dalam percintaan.
"Lagu ini mengenai kisah antara lelaki dan perempuan, dan pilihan. Saya harap lagu ini dapat diterima oleh penggemar muzik tempatan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: