|
"ALHAMDULILLAH, selepas dua kali menunda tarikh pernikahan kami, insya-Allah bulan Mei ini kami akan bernikah," ujar Misha yang ditemui pada majlis minum petang bersama pihak media di Restoran Delicious di pusat beli-belah One Utama kelmarin.
Terpancar kebahagiaan pada wajah wanita berusia 32 tahun itu saat membuat pengumuman tersebut. Turut terasa tempias gembira, tentulah tunangannya, Firos Ezzwan Rossly, 31, yang setia duduk di sebelah wanita kesayangannya itu.
Misha bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh pernikahan mereka demi menghormati permintaan ibunya, Zainab Mat Nor, 65, yang mahu tarikh tersebut didedahkan sewaktu kad undangan diedarkan.
Ujarnya: "Sebenarnya, ibu yang mahu saya dan Firos segera berkahwin. Dia juga berpesan bahawa molek kalau kami bernikah pada bulan Rejab yang jatuh pada bulan Mei.
"Jika ikutkan saya, saya belum bersedia untuk berkahwin kerana masih terasa kehilangan arwah bapa saya, Omar Ismail yang meninggal dunia November lalu.
"Namun kata ibu, edahnya pun sudah habis, jadi elok kalau kami segera bernikah selepas dua kali menundakan perkahwinan kami."
Justeru, dalam masa yang singkat, dia dibantu pengurusnya iaitu kakaknya sendiri, Mimie serta keluarga, menguruskan persiapan perkahwinan mereka selengkap mungkin.
Majlis di Kelantan
Tidak mengimpikan sebuah majlis extravaganza, jelas Misha, majlis pernikahan dan resepsinya hanya akan diadakan pada hari yang sama.
"Jika mengikut perancangan, kami akan bernikah dan menjalankan majlis resepsi di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan pada hari yang sama.
"Majlis itu juga hanya akan dihadiri oleh keluarga terdekat dan sangat sederhana demi menghormati permintaan ibu saya. Saya juga tidak akan melakukan majlis resepsi di Kuala Lumpur, kecuali untuk majlis bertandang di kediaman keluarga lelaki di Subang Jaya, Selangor," katanya.
|
Ditanya tentang jumlah hantaran yang diminta, ini jawapan Misha.
Tidak mahu wang untuk hantaran. Tidak mahu wang untuk mas kahwin. Tidak mahu barangan berjenama untuk hantaran perkahwinan. Cukup dengan hadiah dari hati yang mampu dijadikan simbolik sempena penyatuan hati mereka.
Itu syarat yang diletakkannya.
Bagi penyanyi Angin Syurga itu, dia lebih menitikberatkan tentang kehidupan selepas berkahwin, berbanding mementingkan soal materi yang mahu dibanggakan untuk tatapan umum.
"Keluarga saya sepakat untuk tidak meminta wang untuk hantaran mahupun mas kahwin saya kelak. Cukup jika ada cenderahati sebagai tanda simbolik penyatuan kami. Itu sudah memadai.
"Namun, kami akan berbalas lima dulang hantaran, yang isinya juga saya syaratkan bukan barangan berjenama. Saya bukan wanita yang materialistik kerana saya pegang pesanan ibu saya bahawa saya perlu memikirkan tentang kehidupan selepas berumah tangga kelak," jelasnya panjang lebar.
Bercakap tentang persiapan perkahwinan yang hanya akan menjelang tiga bulan lagi, ujar Misha, setakat ini, dia sudah melalui 50 peratus proses persiapan untuk hari bersejarah itu.
Katanya, dia hanya menggunakan perkhidmatan rakan-rakan baik untuk melangsungkan majlis tersebut.
Pereka busana, Syaiful Bahrim akan mereka busana perkahwinan mereka manakala TheJoeZakaria pula menyediakan khidmat fotografi dan videografi untuk hari bermakna itu.
Sementara itu, Firos yang ditanya tentang kesetiaannya menanti Misha untuk disunting sebagai isteri berkata, dia mempercayai wanita tersebut sepenuhnya walaupun pernah digosipkan berkahwin dan menjadi isteri ketiga seorang usahawan.
Ringkas jawapannya, namun penuh makna, kata Firos: "Saya percaya Misha sepenuhnya. Sementelah, kami sentiasa bersama, jadi saya juga tertanya-tanya bila dia sempat berkahwin seperti yang digembar-gemburkan itu."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: