|
SELASA lalu, penyanyi Misha Omar sekali lagi meleraikan teka-teki umum tentang pernikahannya yang berkali-kali ditangguhkan atas beberapa sebab. Di sisi tunangannya, Firos Ezzwan Rossly, 32, wajah Misha berseri-seri.
Biarpun, hatinya belum tenang selepas pemergian bapanya pada November lalu. Pun begitu, di sebalik pengumuman pernikahannya yang akan berlangsung pada Mei nanti, Misha sebenarnya beroleh satu kekuatan baharu.
"Saya tidak pernah berasa lega seperti hari ini. Rasa hari itu bakal menjadi hari kemenangan buat saya kerana akan membuktikan yang semua cerita negatif tentang saya selama ini adalah tidak benar. Lagipun bila lama-lama bertunang saya takut ditimpa fitnah," jelas Misha yang selama ini galak ditohmah pernah berkahwin dan diceraikan sebagai isteri ketiga lelaki bergelar Datuk.
Tidak selesai dituduh melangsungkan perkahwinan secara sembunyi-sembunyi, penundaan tarikh pernikahan Misha dan Firos juga digosipkan berpunca daripada kelewatan Misha mendapatkan surat perceraian perkahwinan daripada seorang usahawan di Kelantan.
Sekadar berkongsi bulan yang bakal melucutkan status solo yang dipegang selama 32 tahun, namun tarikh sebenar pernikahan hanya akan diketahui sebaik sahaja kad undangan perkahwinan mereka diedarkan.
"Ibu saya yang memilih bulan Mei kerana mengikut kalendar Hijrah, Mei jatuh bulan Rejab. Bulan Rejab antara bulan yang baik dalam kalendar Islam.
"Cuma buat masa ini, biarlah tarikhnya tidak lagi diketahui. Menurut ibu tarikhnya tidak manis untuk diberitahu lagi sehingga kad dilayangkan," jelas Misha yang akan bernikah dan mengadakan majlis resepsi perkahwinannya nanti pada hari yang sama di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan.
Misha dan Firos yang bertunang pada 21 Februari 2012 itu pernah menangguhkan perkahwinan mereka beberapa kali. Sebelum ini Misha merancang untuk berkahwin pada 21 Februari tahun ini namun terpaksa ditangguhkan memandangkan bapanya baru sahaja meninggal dunia pada November lalu.
"Ibu beri semangat, dia meminta saya untuk meneruskan perkahwinan pada Mei selepas ibu habis tempoh idah pada April. Mungkin juga ini masa yang sesuai untuk kami," kata Misha Omar mengadakan pertemuan ringkas bersama media untuk berkongsi berita gembira itu.
Sebelum ini penyanyi Angin Syurga itu pernah merancang untuk berkahwin pada September 2012, namun terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada adik lelaki tunangnya yang turut memilih bulan perkahwinan yang sama. Ketika itu juga, Firos juga berdepan komitmen untuk mengambil peperiksaan lesen juruterbang kanan mengendalikan pesawat Airbus A330.
Sesuatu yang berbeza, Misha tidak mengumumkan kemeriahan yang bakal diraikan sempena hari bahagianya kelak. Tidak seperti kebanyakan popular lain yang meriah tajaan, Misha pula sebaliknya. Bahkan dia tidak mahu menerima sebarang hantaran barangan berjenama serta segala bentuk wang sebagai mahar perkahwinannya nanti.
"Saya dan keluarga sepakat untuk tidak meminta wang hantaran mahupun mas kahwin saya kelak. Cukup jika ada cenderahati sebagai tanda simbolik penyatuan kami. Itu sudah memadai.
"Namun, kami akan berbalas lima dulang hantaran, yang isinya juga saya syaratkan bukan barangan berjenama. Saya bukan wanita yang materialistik," jelas Misha yang akan mendapatkan perkhidmatan rakan-rakan baik dari segi persediaan busana dan fotografi bagi melancarkan majlis tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: