MELETAKKAN harga tiket serendah bernilai RM480 sementara tiket termahal RM1,380 seorang untuk sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang berdurasi 45 minit, ternyata ia percaturan paling bergaya pernah dilakukan Anuar Zain.
Selama ini, penyanyi hanya diundang sebagai pengisi persembahan sempena Minggu Setiausaha yang sering dianjurkan oleh hotel-hotel atau penganjur berpengalaman. Bagaimanapun, untuk tahun 2014, Anuar telah membuka mata banyak pihak.
Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini itu muncul sebagai satu-satunya artis berkredibiliti yang sanggup mengambil risiko besar apabila memutuskan untuk menganjurkan sendiri persembahan Minggu Setiausahanya.
"Selama ini saya hanya membuat persembahan Minggu Setiausaha anjuran pihak lain. Niat untuk menganjurkan sendiri persembahan sebegitu pernah ada tetapi saya rasa belum mampu melaksanakannya.
"Cuma selepas berjaya mengadakan konsert sendiri, keyakinan saya semakin kuat. Didorong pasukan pengurusan dan publisiti yang berpengalaman, saya mahu melakukannya," jelas penyanyi berusia 44 tahun itu tersenyum bahagia.
Anuar juga tidak gentar saat harga tiket setinggi RM1,380 dikatakan sebagai tiket termahal untuk sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang disambut pada April setiap tahun.
Harga tersebut juga dikatakan dua kali ganda nilainya berbanding konsert yang dilakukan pada tahun lalu dengan harga tiket paling tinggi sebanyak RM698 sahaja.
"Saya percaya semua artis bekerja keras untuk meletakkan diri ke tempat yang sepatutnya mereka berada. Saya rasa harga itu berbaloi dengan skala persembahan yang bakal saya adakan.
"Projek ini satu eksperimental dan juga cabaran besar untuk saya sendiri. Berdasarkan pengalaman lepas, peminat sanggup membayar harga tiket untuk artis yang mahu mereka saksikan.
"Untuk konsert ini, saya boleh janjikan kepuasan ekstra dan satu pengalaman yang membahagiakan buat semua. Saya percaya ramai lagi artis Malaysia boleh jual tiket mahal tetapi harus bersandarkan bagaimana mereka mencorakkan karier mereka selama ini," kata Anuar Zain yang menganjurkan konsert berkenaan menerusi syarikatnya, Anuar Zain Network Sdn. Bhd.
Untuk satu-satunya persembahan besar yang dirancangkan pada tahun 2014, Anuar menyifatkan kerja sekali setahun itu tiada misi lain selain mahu melakukan sesuatu yang teristimewa untuk setiap orang yang berkongsi momen itu bersamanya.
"Mungkin persembahan itu akan jadi satu-satunya persembahan besar saya tahun ini. Saya juga terpaksa menolak sehingga lima tawaran besar yang lain kerana mahu memberikan yang terbaik untuk persembahan saya nanti.
"Ia bukan sahaja tentang muzik tetapi jiwa dan rasa itu yang lebih penting. Ia sebuah persembahan yang bukan pertunjukan semata-mata," tambah Anuar.
Ibarat mahar emas yang harus dipersembahkan untuk menonton persembahan eksklusif untuk 1,500 tetamu itu, Anuar tidak mahu bajet besar yang bakal dihabiskan untuk penganjuran Minggu Setiausaha berkenaan dikongsi khalayak.
Di sebalik tema Terindah...Anuar Zain yang dipilih, Anuar juga meluahkan pendiriannya mengapa bajet sedemikian besar tidak dijadikan dana melebarkan pengaruh ke luar negara.
"Biarlah orang kata hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri. Saya tidak rasa peribahasa itu relevan dengan industri muzik, saya mahu biarlah hujan emas itu negeri sendiri," tutupnya Anuar.
Selain lagu Terindah dan beberapa lagu popular, Anuar turut menyediakan undian menerusi laman Facebooknya untuk menentukan lagu mana yang peminat mahukan sempena persembahan yang akan berlangsung pada 8 April nanti.
Bakal mengambil tempat di One World Hotel, Petaling Jaya, tiket-tiket Terindah...Anuar Zain akan dijual bermula 7 Februari depan menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network di talian 019-317 7476 atau 012-464 2030.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: