Tuesday, February 18, 2014

Kualiti kelas pertama Mango Mojito


VARIASI sepatu Mango Mojito sesuai untuk pelbagai gaya harian setiap lelaki.


STAIL kasut dari Jepun menjadi ilham kepada empat lelaki Thailand. Minat mereka terhadap kasut dengan campuran ciri klasik dan moden mendorong kepada penciptaan satu jenama. Lahirnya Mango Mojito bukan sekadar suka-suka, namun untuk mempertaruhkan karya sepatu Adam yang tinggi kualiti.
Sekitar tahun 2009, Silratth Sukwatthanasiri, 27, bersama tiga sahabatnya mewujudkan Mango Mojito. Dua tahun anak-anak Bangkok, Thailand itu berhempas-pulas membangunkan jenama kasut mereka. Kini, ia telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Malaysia dan Australia.
Pada awal pengenalan Mango Mojito, Thailand memang ketandusan kasut kasual klasik buat golongan lelaki. Apatah lagi kasut material kulit asli yang boleh ditempah khas. Namun kini, terdapat banyak pengusaha kasut di negara itu yang menggunakan konsep serupa.
Begitupun Mango Mojito tidak terjejas. 13 rekaan klasik daripada rangkaian kasut jenis boat, sarung (loafer), oxford, but chukka dan beberapa lagi keluaran eksklusif terus menjadi keutamaan pengikut setia mereka.
Penerapan teknik kemasan istimewa juga satu kelebihan buat jenama dari negara Gajah Putih itu. Kira-kira enam teknik rumit diaplikasikan bagi menghasilkan satu kasut Mango Mojito.
Dianggarkan setiap teknik untuk satu kasut memakan masa selama 40 minit. Jika dicampur keseluruhan proses termasuk fasa pengeringan warna, sepasang kasut hanya boleh disiapkan secara sempurna dalam tempoh dua minggu.
SEPATU ini membantu pembentukan gaya kasual klasik dengan sempurna.


Teknik Itali
“Dalam sehari kami boleh hasilkan 10 hingga 20 pasang kasut sahaja. Teknik yang kami gunakan sama seperti pembuat kasut di Itali. Ia amat teknikal dan terperinci terutamanya ketika proses pewarnaan.
“Untuk mendapatkan warna kasut kulit seperti yang kami tawarkan, setiap kasut perlu melalui lima hingga enam fasa. Jadi prosesnya memang memakan masa dan menelan kos yang agak tinggi,” jelas Silratth bahawa Mango Mojito antara pengusaha kasut yang terawal menerapkan teknik Itali tersebut di Thailand.
Pada dasarnya, harga setiap pasang sepatu Mango Mojito memang agak mahal berbanding kasut yang sedia ada dalam pasaran. RM499 adalah penawaran paling murah jenama itu untuk sepatu dengan rekaan paling asas.
Bagi rekaan eksklusif termasuk tempahan khas (custom made), pelanggan perlu membelanjakan RM599 ke atas. Secara realistik, harga itu hampir setara dengan label-label kasut popular seperti Timberland dan Dr Martens.
Bagaimanapun, Mango Mojito positif bahawa kualiti produk mereka juga setaraf dengan harga yang dilaburkan pengguna. Perbandingan dengan dua jenama antarabangsa itu pula dirasakan tidak wajar memandangkan mereka mengeluarkan produk yang amat berbeza.
Silratth yang juga Pengurus Jenama bagi Charcoal Company Limited ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan, masyarakat masih menanam skeptikal lapuk terhadap tingkat penjenamaan sesuatu produk.

SETIAP tapak kasut jenama Thailand ini dijahit kemas untuk ketahanan berpanjangan.


Pembangunan jenama
Barangan berjenama popular sering menjadi pilihan berbanding produk kurang ternama, waima kualitinya hanya sederhana. Seperti Mango Mojito, kualiti kekal sebagai teras pembangunan jenama. Mereka mahu membina kepercayaan pelanggan daripada ketahanan dan individualiti produk yang ditawarkan.
Kesungguhan jenama itu menyediakan sepatu lelaki berkualiti dapat dilihat pada kasut sarungnya. Kebanyakan jenama mengambil mudah kemasan pada tapak kasut jenis itu. Justeru, tapak kasut mudah tercabut walaupun baru beberapa kali dipakai kerana ia hanya digam.
Setiap bahagian kasut Mango Mojito dijahit. Jadi pengguna tidak perlu gusar terhadap kerapuhan kualiti jenama tersebut. Dalam erti kata lain, membeli sepasang sepatu Mango Mojito adalah pelaburan yang bijak.
Lebih istimewa, pelanggan diberi kuasa untuk terlibat secara langsung dengan proses rekaan kasut. Kebebasan memilih rekaan bagi membentuk kasut bersifat peribadi menjadikan Mango Mojito sebagai jenama eksklusif yang sangat progresif.
Untuk setiap kasut, pelanggan diberi pilihan warna bagi membentuk stail individu. Gabungan tiga warna berpadanan yang tidak terlalu ‘meriah’ pula mengekalkan ciri klasik pada setiap pasang kasut mereka.
Kasut sarung Mango Mojito merupakan item paling popular. Rekaan ringkas, mudah dipadankan dan selesa menjadikan ia pilihan kebanyakan orang.
Variasi sepatunya juga tidak terhad terhadap sesuatu gaya. But chukka paras buku lali misalnya, sesuai disatukan bersama sut formal atau kasual. Setiap jenis kasut jenama itu boleh disesuaikan mengikut gaya harian yang pelbagai.
Kasut sarung Mango Mojito dipecahkan kepada enam jenis iaitu simple, mojito, tassel, formal, penny dan formal penny. Kasut jenis oxford pula terbahagi dua dengan pilihan captoe dan oxford biasa.
Kesukaran mencari saiz yang sesuai juga bukan masalah. Memandangkan majoriti kasut sering menggunakan saiz kaki lelaki Eropah, kaum Adam yang berkaki kecil dilanda masalah bagi mencari kasut dengan saiz yang sepadan. Jenama Thailand itu mengutamakan saiz orang Asia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: