Monday, February 17, 2014

Kak Engku bantai Fathia



KAYANYA teater bangsawan terletak pada penceritaan, ada magis, ada manis, ada fantasi dan tersirat pengajaran. Perihal itu disampaikan menerusi pementasan teater Bidasari yang telah mula dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari ini.
Teater itu dilakonkan oleh Nur Fathia sebagai Bidasari, Aiman Hakim Ridza (Tengku Indra), Hairul Azreen (Tengku Iskandar) dan Raja Azura (Permaisuri Laila Sri) sebagai tunjang utama.
Malangnya, hal yang harus diakui bahawa watak Bidasari yang dilakonkan oleh Fathia kurang menyerlah ketika pementasan pertama bersama media pada 10 Februari lalu.
Memandangkan Bidasari sendiri diangkat sebagai subjek cerita dan fokus utama, kekurangan itu dilihat sebagai satu percaturan yang salah apabila menenggelamkan karakter utama yang dinanti-nantikan penonton.
Sebaliknya, watak Permaisuri Laila Sri lakonan Raja Azura atau popular disapa Kak Engku jauh lebih berkualiti dan berjaya membawa penonton menerokai perjalanan kisah penglipurlara Melayu itu.
Kak Engku mencuri perhatian menerusi lantunan suaranya yang lantang dan karakter kejam permaisuri yang berjaya disampaikan secara bersahaja.
Selain itu, ada beberapa babak yang melibatkan Kak Engku memukul Nur Fathia yang melakonkan watak Bidasari secara bersungguh-sungguh hingga mengundang jeritan teruja penonton.
Snow White Melayu
Naskhah Bidasari atau sering disamakan dengan Snow White versi Melayu itu menceritakan seorang gadis cantik yang menjadi saingan semua wanita termasuk Permaisuri Laila Sri.

LAKONAN Raja Azura dalam Bidasari dikatakan lebih menyerlah berbanding Nur Fathia.


Bidasari merupakan anak angkat seorang saudagar yang berkongsi nyawa dengan seekor ikan. Dek cemburu, permaisuri jahat itu mengumpan Bidasari untuk tinggal di istana dan 'menidurkannya' menerusi nyawa ikan tersebut.
Akhirnya, hikmah seutas kalung telah berjaya membuka semula sumpah itu dan menghidupkan kembali Bidasari sekali gus menghapuskan Permaisuri Laila Sri.
Kenapa sering disamakan dengan pengkisahan Snow White? Salah satunya jalan cerita watak utama ditidurkan dan dihidupkan semula menerusi magis, adanya karakter permaisuri jahat dan hero yang menyelamatkan si puteri.
Permaisuri jahat pasti akan melengkapkan sesebuah cerita tentang penganiayaan seorang gadis cantik dan baik. Begitu juga teater Bidasari yang telah melonjakkan keupayaan pemain watak itu, Raja Azura.
"Perempuan jahat memang selalu orang nampak walaupun satu babak. Kalau ditonton menerusi filem hitam putih Bidasari, karakter permaisuri kurang menyerlah.
"Jadi, saya menyuntik semua elemen yang sewajarnya mengikut pemahaman saya sendiri menjadi lebih dramatik, berkuasa dan kejam.
"Saya tidak suka menciplak karakter itu satu persatu tapi saya menaik tambah, selain menggambarkan watak itu dalam masa sama penonton akan terhibur," ujarnya yang menyuntik humor semasa terutama babak membabitkan dayang-dayang.
BIDASARI merupakan pementasan teater pertama yang menggandingkan Nur Fathia bersama Aiman.


Bersilat
Kali terakhir berlakon di pentas teater menerusi teater muzikal Sinbad pada tahun 2008, Raja Azura menyifatkan lakonannya kali ini mengubat kerinduan dan platform untuk dia lepas geram.
"Penonton lihat saya menyerlah mungkin kerana pengalaman, kalau dulu sayalah ratu di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, lepas satu-persatu saya berlakon.
"Drama Pendekar kemudiannya melatih saya untuk mahir berpencak silat, dilambung tinggi-tinggi, diikat, ditolak, terbang dari pokok ke pokok dan kerana itu juga saya kebal untuk beraksi sekali lagi.
"Selepas datang menonton teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang tahun lalu, Abang Jo (Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani) mengajak saya untuk berlakon sekali lagi dalam teater ini dan saya tidak boleh berkata tidak kerana saya juga peminat naskhah ini.
"Diberi pula watak permaisuri jahat, memanglah makanan saya. Ibaratnya kalau sudah lama tidak berlakon, saya menjadi kemaruk dan melepaskan segala yang terpendam selama ini," jelasnya.
Ditanya adakah teater Bidasari berjaya membuka ruang hatinya untuk kembali berlakon selain menjadi penyampai radio sepenuh masa di Sinar FM ketika ini, jawab Kak Engku dia akan menerima sekiranya ada tawaran watak yang menarik.
"Takbir Suci arahan Rashid Sibir adalah telefilem terakhir yang saya berlakon. Memang rindu tapi jujur saya katakan jadual saya penuh sampai bulan Jun, risau tidak dapat memberikan komitmen dan menyusahkan pihak lain," katanya.

PEMENTASAN Bidasari berlangsung dari 10 Februari lalu dan bakal berakhir pada hari ini, 17 Februari.


Tambah Kak Engku, menariknya mengenai teater bangsawan contohnya Bidasari kerana tersurat adab dan perilaku bangsa Melayu yang ramah serta santun.
"Ramai yang tidak mengetahui cara untuk bercakap depan raja, generasi sekarang pun tidak mengerti makna sopan-santun, dengan adanya pementasan teater ini secara tidak langsung mampu mendidik penonton," ujarnya.
Dalam pada itu, aspek teknikal pementasan teater itu harus diberikan pujian. Permainan cahaya, audio, koreografi pentas, susunan plot, kualiti props gergasi, grafik, busana dan ensemble (penari dan pemuzik) yang mengalir sempurna melengkapkan teater Bidasari.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: