Saturday, February 15, 2014

Janda, pasangan ditahan dalam Ops Kekasih di Kedah


ANGGOTA JHEAIK menyoal siasat pasangan yang ditangkap khalwat (duduk dan kiri sekali) di sebuah hotel bajet, Jalan Lencong Barat, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Sambutan Hari Kekasih semalam menjadi igauan ngeri kepada seorang janda berusia 30 tahun apabila ditangkap bersama pasangannya kerana berkhalwat.
Mereka ditahan di dalam sebuah bilik hotel bajet di Jalan Lencong Barat, Tandop di sini dalam Ops Kekasih yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) kira-kira pukul 12 tengah malam semalam.
Penolong Pengarah Penguat Kuasa JHEAIK, Sheikh Mohd. Sulaimi Salleh berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya terpaksa menunggu sehingga 40 minit di luar pintu bilik itu sebelum ia dibuka oleh seorang lelaki berusia 31 tahun.
Katanya, lelaki itu memberi alasan tinggal bersendirian di dalam bilik tersebut dan tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana tertidur.
"Hasil pemeriksaan, kami berjaya menemui seorang wanita yang sedang bersembunyi di dalam bilik air dalam keadaan lengkap berpakaian," katanya di sini semalam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu merupakan seorang janda dan menetap bersama ibu angkatnya di Simpang Kuala di sini manakala pasangannya yang bekerja di Langkawi mengaku sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.
"Mereka juga mengaku mengenali antara satu sama lain sejak empat tahun yang lalu dan memberi alasan sedang berbincang mengenai masalah rumah tangga," katanya.
Pasangan berkenaan ditahan di bawah Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkhalwat, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: