• Ibarat pesta air di lombongPenduduk mengambil air di Lombong Bukit Tadom, semalam.

BUKIT TADOM - “Pakcik sanggup ulang alik ke lombong, semata-mata nak dapatkan air secara percuma," kata seorang penduduk, Badiman Selamat, 54, ketika ditemui di Lombong Bukit Tadom, Labohan Dagang, semalam.

Berkata lanjut, ramai bukan hanya dirinya yang datang mengambil air di lombong, malah penduduk lain juga melakukan hal yang sama sehingga menjadikan pemandangan di kawasan lombong ini seperti pesta air pada setiap kali hujung minggu kerana ramai datang membawa tong air masing-masing dengan pelbagai saiz dan bentuk.

Menurutnya, dia yang mengangkut air sebanyak dua tong setiap kali datang mengambil air dari lombong berkenaan tidak mempedulikan rasa penat, kerana air sememamgnya keperluan yang tidak boleh tiada dalam urusan seharian.

“Hari ni pakcik datang ambil air untuk keluarga basuh pakaian dan mandi. Bukan semata-mata untuk keperluan minum atau masak semata-mata. Malah, rakan-rakan yang turut datang ambil air di sini pun masing-masing dengan tujuan sama. Tapi, kat sini kena tunggu giliran untuk ambil (air)," katanya sambil memberitahu ramai yang datang mengambil air melebihi dari tiga tong.

“Keadaan ini (krisis air) bukan sahaja menyusahkan penduduk, tapi seolah-olah sengaja dibiarkan masalah berlarutan,” katanya.

Bagi Tukiran Marsan, 50, berkata, dia sendiri sudah 11 hari mengangkut air dari lombong tersebut selepas pihak Syabas tidak membenarkan penduduk mengambil air di pili air berhampiran jalan besar.

Katanya, sejak itu, terpaksalah dia datang ke lombong berkenaan untuk mendapatkan bekalan air.

"Paling tidak pun saya dapat bantu rakan-rakan yang uzur angkat tong untuk diletakkan ke atas motosikal mereka. Tapi, sampai bila kami perlu mengangkut air dari lombong setiap hari, memandangkan agihan air Syabas masih tidak mencukupi.

“Pakcik sendiri sedih apabila tong-tong diletakkan di hadapan rumah masih tidak berisi. Sejak itulah pakcik datang ke sini ambil air. Sekurang-kurangnya, dapat juga keluarga basuh pakaian yang telah berlonggok lama,” katanya.

Bagi seorang pekerja swasta, Siti Nurani Salam, 26, berkata, dia yang terpaksa mengambil air sendiri setiap hari menggunakan motosikal.

Katanya, dia sudah biasa apabila mahukan bekalan air untuk aktiviti seharian seperti membasuh dan mandi.

“Jika tak ambil di sini di mana lagi nak ambil. Jadi saya harap, kawasan ini tak ditutup, kerana ia beri manfaat kepada penduduk,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk tidak putus-putus datang mengambil air di lokasi berkenaan semata-mata untuk menyimpan bekalan air di rumah.