Sunday, February 16, 2014

Gandingan serasi Fimie, Seri Nabilla



MELIHAT kelibat dua insan ini beraksi di hadapan kamera mengacarakan program kanak-kanak, Lantai Cilik 2, pasti ramai menyangka mereka dalam kelompok umur yang sama.
Namun, tekaan itu sebenarnya jauh meleset. Biarpun berbeza usia lebih 10 tahun, gandingan Fimie Don dan Seri Nabilla dilihat cukup serasi ketika mengendalikan program kanak-kanak yang disiarkan di saluran TV2 itu.
Apa yang pasti, perbezaan umur yang ketara tidak sedikitpun membuatkan diri mereka kekok untuk bekerjasama dalam mengendalikan program tersebut
Ia terbukti apabila kini, program realiti kanak-kanak yang sudah masuk musim kedua itu masih menggunakan khidmat mereka berdua.
Jika dilihat dari segi umur, Seri Nabilla yang berusia 29 tahun ini boleh dianggap sebagai seorang kakak kepada Fimie yang baru berumur 16 tahun.
Namun faktor usia itu sedikitpun tidak menghalang dua pengacara itu mengemudi program yang turut disiarkan secara langsung selama sejam pada setiap Sabtu pada pukul 1 tengah hari itu.
Bagi Fimie sendiri, biarpun lebih dikenali sebagai seorang pelakon drama dan filem, mengacara bukanlah suatu yang baharu baginya.
Ini kerana sejak berumur sembilan tahun lagi, pelakon filem Juvana ini sudah mula berkecimpung untuk menjadi pengacara.
Antara program yang dikendalikannya ialah program Nasi Lemak Kopi O, Berita Adik, Adik di 9 dan program Cutipedia.
Sementara itu, bagi Seri Nabilla atau nama sebenarnya Farah Nabilla Noor Anuar ini, wajahnya banyak menghiasi program-program rancangan yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Di sebalik kisah kerjaya mereka berdua, Fimie dan Seri Nabilla ini ada kisah sisi hidup mereka yang boleh dikongsi bersama.
Kagumi Bront Palarae
MENYENTUH hal lakonan, Fimie mengakui selain bakat yang ada pada dirinya, dia juga banyak belajar daripada pelakon-pelakon yang berpengalaman.
Bagi Fimie sendiri, dia meminati pelakon filem Belukar, Bront Palarae.
“Saya melihat dia seorang pelakon yang serba boleh.
“Apa sahaja watak yang diberi baik komedi, ataupun sedih, dia mampu bawakan dengan baik,” ujar Fimie.


Main Ukulele
BAKATNYA lebih menyerlah pada bidang lakonan, namun, Fimie juga minat dalam bidang muzik.
Pelakon filem Magika itu memberitahu dirinya suka bermain alat muzik ukulele.
“Saya suka main ukulele jika ada kelapangan masa.
“Saya akan belajar sendiri menerusi video yang ditonton di laman YouTube. Selain itu saya juga akan cari kod-kod lagu untuk saya cuba mainkan,” katanya yang memiliki kebolehan untuk bermain alat muzik seruling.
Menyentuh mengenai bidang nyanyian, Fimie memberitahu dia lebih cenderung untuk menjadi seorang penyanyi rap.
“Saya ada kumpulan yang digelar BragsFam,” ujarnya.
Atas sebab itulah, jika dilihat dari segi penampilan Fimie lebih gemar berpakaian gaya ala hip hop.
“Pakaian saya kalau tengok suka yang seluar londeh, baju pun besar-besar yang turut meminati penampilan seorang hip hop,” ujarnya yang menafikan dirinya meniru gaya seperti penyanyi antarabangsa, Justin Bieber.
Belajar lepas waktu sekolah
TATKALA rakan seusianya pergi ke sekolah, Fimie terkadang terpaksa akur apabila tertinggal sedikit pelajaran berbanding rakan sekelasnya yang lain.
Semuanya gara-gara komitmen yang perlu digalas atas nama anak seni.
Namun, menurut Fimie, dia perlu bijak menguruskan masanya bagi memastikan kerjaya dan pendidikan bergerak seiring.
Maka, sebab itulah, menjadi kebiasaannya akan tetap berada di sekolah sehingga petang, biarpun rakan yang lain masih sudah pulang ke rumah.
Bukannya didenda, sebaliknya, Fimie sebenarnya memiliki guru yang akan mengajarnya secara peribadi.
“Selepas sesi persekolahan, saya akan belajar semula semua pelajaran yang saya tertinggal sewaktu tak hadir.
“Saya ada guru peribadi yang akan mengajar saya,” ujarnya yang mengambil aliran seni di SMK Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


Minat suara Saloma & Sharifah Aini
BAGI Seri Nabilla pula, biarpun bergelar pengacara, graduan Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) itu sebenarnya lebih meminati bidang nyanyian.
Seri sebenarnya sudah memiliki single bertajuk Takkan Menangis yang dihasilkan pada 2010.
“Saya keluarkan duit sendiri untuk keluarkan single tersebut.
“Tapi sayangnya rezeki saya mungkin belum ada lagi pada bidang nyanyian pada waktu itu,” katanya.
Kongsi Seri, dia juga meminati nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma dan biduanita Sharifah Aini.
“Bagi saya suara mereka cukup unik dan cukup merdu,” katanya yang meminati lagu-lagu berentak balada.
Tak minum air bergas
MENJADI seorang pengacara, Seri akui suara merupakan aset bagi dirinya.
Katanya, jika suaranya bermasalah, maka sukar untuk dia mengendalikan sesuatu program.
Maka, atas faktor itulah, Seri memberitahu dia mengelak mengambil minuman bergas.
“Saya sendiri tidak suka minum air bergas,” ujarnya yang turut memiliki Diploma Perakaunan dari Kolej Profesional Mara, Melaka.
Tambah Seri, kelangsungan suara yang baik perlu ada pada dirinya kerana itulah yang menjadi punca rezekinya.
Dalam pada itu, kongsi Seri dia amat meminati gaya penyampaian personaliti Nor Farahin Jamsari.
“Saya sukakan gaya lenggok badan, intonasi dan lontaran suara dia,” katanya.
Kaki pancing
MELIHAT kepada perwatakan wanita ini, tiada siapa menyangka Seri sukakan aktiviti memancing yang kebiasaannya diminati oleh golongan lelaki.
“Dalam kereta memang sudah tersedia peralatan memancing. Bukan apa, senang, kalau tiba-tiba terasa nak singgah untuk memancing, senang semua dah dibawa,” ujar wanita kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini.
Menurut Seri minatnya itu sebenarnya turut dikongsi bersama suaminya yang juga seorang kaki pancing.
“Dialah yang selalu teman Seri kalau nak memancing. Biasanya kami memancing di laut. Memancing di laut lebih mencabar,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga Ogos tahun lalu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: