|
PEMBUAT kereta mewah dari Britain, Aston Martin baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-100 dengan pelancaran model elegannya, Aston Martin DB9.
Aston Martin sememangnya sudah lama dikenali terutama selepas penglibatan aktifnya dalam filem berimpak tinggi seperti James Bond sejak sekian lama.
Disifatkan sebagai model paling berkuasa sejak pengenalan pertamanya pada tahun 1994, Aston Martin DB9 turut ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi pengimport dan pengedar sahnya, Jelita Seleksi Sdn. Bhd., (Jelita Seleksi).
Berikutan pelancaran Aston Martin DB9 itu, Pengarah Eksekutif Aston Martin Kuala Lumpur, Nazrul Mohtar yakin bahawa Malaysia mampu menjadi pasaran utama untuk jenama mewah tersebut di rantau Asia Tenggara.
“Permintaan terhadap kereta mewah di sini adalah positif. Ia didorong oleh ekonomi negara yang positif dan peningkatan kuasa membeli pengguna,” kata Nazrul yang enggan mendedahkan berapa unit Aston Martin telah terjual di Malaysia.
Di sini, Aston Martin DB9 ditawarkan pada harga RM1.7 juta seunit. Namun, harga itu boleh meningkat bergantung kepada tambahan aksesori yang dimahukan pelanggan.
Apa yang pasti, kehadiran kereta sport GT Britain itu sememangnya mengukuhkan lagi posisinya selaku peneraju dalam segmen sport mewah.
Aston Martin DB9 dilengkapi enjin AM11 V12 penuh kuasa. Penambahbaikan bukan sahaja dilakukan pada aspek prestasi, malah kadar emisinya juga dikurangkan berbanding enjin terdahulu.
Enjin aloi sepenuhnya bersesaran 6.0 liter itu mampu menghamburkan kuasa sehingga 510hp @ 6,500rpm dan tork puncak mencecah 620Nm @ 5,500. Dari segi prestasi pula, jentera tersebut mampu meluncur dari 0 hingge ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh cuma 4.6 saat dengan kelajuan maksimum 295km/j!
Dengan penggunaan sekitar 60 peratus panel badan baharu, model sport GT itu juga sarat dengan teknologi dan kejuruteraan termaju Aston Martin. Ini membolehkannya mengekalkan statusnya sebagai model utama keluaran Aston Martin.
Sebagai contoh, chasisnya kini lebih tegar berbanding model terdahulu, selepas jurutera Aston Martin menggunakan struktur kerangka VH dan menjadikannya lebih baik. Struktur kerangka yang kukuh bukan sahaja memberi perlindungan kepada pemandu dan penumpangnya. Malah membuatkan kawalan stereng menjadi lebih jitu.
Prestasi brek mengagumkan
Penggunaan komponen-komponen baharu juga menjadikan DB9 semakin istimewa. Sistem brek misalnya, mengguna cakera Matriks Seramik Karbon CCCM) dan angkupnya pula disediakan oleh pakar pembuat brek global, Brembo.
Sistem brek itu menawarkan prestasi brek mengagumkan. Ini sekali gus memberi keyakinan kepada pemandu untuk memberhentikan kenderaan dengan yakin dan selamat.
DB9 dipasang dengan sistem suspensi termaju generasi keempat buatan Aston Martin yang dikenali sebagai Adaptive Damping System (ADS). ADS telah dijuruterakan semula bagi membolehkan pemandu memilih tiga mode suspensi iaitu Normal, Sport dan Trek.
Pada mode Normal, peredam ditala agar dapat memberikan pemanduan selesa. Talaan akan dibuat secara elektronik yang menyesuaikan input daripada pemandu, kelajuan dan kualiti permukaan jalan.
Mode Sport pula menyaksikan talaan suspensi lebih fokus bagi memberikan kualiti pemanduan yang dinamik. Sementara talaan suspensi paling keras berlaku apabila pemandu memilih mode Trek.
DB9 turut mematuhi piawaian perlindungan pejalan kaki terkini Eropah. Aspek itu berjaya direalisasikan tanpa mengorbankan nilai estetik rekaan luarannya. Bagi mencapai matlamat tersebut, pasukan jurutera Aston Martin telah melakukan pengubahsuian pada struktur bahagian bawah jentera. Ini termasuklah merendahkan kedudukan enjin, penggunaan bonet, binaan bampar hadapan dan acuan gril yang baharu.
Penyelesaian itu membuktikan bahawa Aston Martin berjaya mengelak daripada menggunakan cara konvensional seperti penggunaan gril plastik dan banyak lagi.
“Enjin AM11 V12 yang baharu dan rekaan bahagian hadapan unik untuk perlindungan pejalan kaki menjadi contoh jelas mengenai kecanggihan teknologi yang menjadikan Aston Martin pembuat kereta sports paling diminati di dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin, Dr. Ulrich Bez.
Material berkualiti tinggi
Untuk bahagian luarannya, DB9 menampilkan rekaan yang mengambil inspirasi daripada model Aston Martin GT klasik. Ia tetap mengekal garis tubuh yang maskulin tanpa lekukan berlebihan. Tubuhnya yang rendah dan lebar pula seakan-akan memberi jaminan kepada pemandu bahawa ia menawarkan tahap kestabilan terbaik ketika dipandu laju.
Sementara bahagian belakangnya pula menyerlah menerusi rekaan but flip yang dikatakan berfungsi meningkatkan prestasi aerodinamik kereta.
Beralih ke bahagaian kabin, DB9 sekali lagi tidak mengecewakan peminatnya dengan ambien yang elegan dan mewah. Selain penggunaan material berkualiti tinggi, perincian teliti juga dapat dilihat dengan jelas.
Sebagai contoh, ruang kokpit DB9 dibalut dengan kemasan kulit. Sementara suis-suis kawalannya diperbuat daripada gelas yang kelihatan seperti permata. Ketelitian semua perkara di ruang dalaman itu jelas membuktikan komitmen Aston Martin untuk menggunakan material tulen dan bernilai tinggi.
“Kami sangat teruja kerana mampu memulakan sambutan ulang tahun ke-100 Aston Martin menerusi pelancaran DB9 baharu ke pasaran Malaysia. Model ikonik ini merupakan contoh jelas terhadap kekayaan warisan Aston Martin yang kemudiannya digabungkan dengan teknologi tercanggih.
“Ini membolehkannya untuk terus hidup untuk 100 tahun lagi. Para pemilik dan peminat jentera Aston Martin pastinya mengagumi model elegan yang tidak dimakan zaman ini yang ditawarkan secara terus oleh Aston Martin Kuala Lumpur,” tambah Nazrul.
Bukan sekadar DB9, Aston Martin Kuala Lumpur juga menawarkan varian lain Aston Martin termasuklah Super Grand Tourer Vanquish, rangkaian model Vantage serta kereta sport empat pintu paling cantik di dunia, Rapide.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: