Wednesday, May 22, 2013

Sisa pepejal bandaran bebankan Hong Kong


SEORANG kakitangan organisasi Kitar Semula Hong Kong mengutip sampah di depan pintu premis ahli yang berdaftar dengan kumpulan itu untuk dikitar semula.


DI pusat bandar raya Hong Kong, sepasukan penyapu sampah di jalanan dan pemungut sampah sentiasa memastikan setiap pelosok jalan di situ bersih. Bagaimanapun, berbukit-bukit sampah yang semakin hari semakin menimbun di pinggir bandar pula menjadi bukti kepada dakwaan para aktivis mengenai krisis alam sekitar.
Sementara bahagian bandar tampak seperti diuruskan dengan sempurna, tiga buah tapak pelupusan sampah bertimbun dengan sisa pembuangan manusia sekali gus bakal mencapai kapasiti maksimum pada tahun 2020, menurut agensi kerajaan, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD).
Terdapat beberapa ramalan mengenai kepadatan sampah di situ. Antara yang menakutkan adalah ia akan penuh dalam tempoh satu hingga dua tahun saja lagi.
Tapak pelupusan
"Kami mesti mencari pelan cadangan untuk mengurangkan sampah, jika tidak sampah sarap akan berada di jalanan dalam tempoh tujuh tahun ini," kata saintis alam sekitar, Profesor Jonathan Wong dari Universiti Baptis Hong Kong.
Majoriti daripada 13,000 tan sampah yang dibuang di tapak pelupusan di Hong Kong setiap hari dikategori sebagai sisa pepejal bandaran (MSW) yang dihasilkan di rumah, perniagaan dan industri.
Dengan populasi lebih 7 juta orang, Hong Kong menghantar 1.3 kilogram MSW bagi setiap orang ke tapak pelupusan sehari.
Kebanyakan adalah sisa domestik iaitu sampah dari perumahan dan institusi-institusi termasuk sekolah.
Ia adalah lebih tinggi berbanding bandar-bandar Asia lain termasuk Tokyo, Seoul dan Taipei.
Sikap orang awam dipersalahkan kerana menjadi punca kepada pertambahan sampah MSW.
"Hong Kong merupakan bandar yang bergerak pantas dan penduduknya mahu mengikut trend sama ada pakaian, perabot atau telefon bimbit.
"Mereka barangkali memiliki sebuah perabot yang masih baik, tetapi akan dibuang untuk digantikan dengan baharu," kata Pengarah Eksekutif Greeners Action, Angus Ho. Greeners Action merupakan sebuah badan bukan kerajaan di Hong Kong.
Angus bersama-sama para aktivis lain turut menyalahkan kerajaan kerana tiada tindakan yang diambil sehingga sampah sarap Hong Kong berbukit-bukit.
EPD menerbitkan sebuah rangka kerja untuk tempoh 10 tahun bagi menguruskan sisa bandaran pada tahun 2005, tetapi mendapat banyak kritikan.
Banyak cadangan yang dikemukakan gagal dibuat selain tiada penjadualan tepat dan konkrit untuk memulakannya.
Buat masa ini, pihak tersebut sedang dalam usaha merangka tindakan pada satu lagi pengurusan sampah yang bakal dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu.
EPD mengakui Hong Kong mengalami krisis sampah.
Tambahnya, ia hanya boleh ditangani dengan mengambil langkah yang mempunyai pelbagai penjuru iaitu daripada pengurangan sampah pada peringkat sumber sehingga meningkatkan pemulihan sisa.
Selain itu, pembinaan infrastruktur moden merawat sampah yang komprehensif juga penting terutamanya yang dapat menangani jenis-jenis sampah berbeza.
Kerajaan dan kumpulan-kumpulan alam sekitar percaya bayaran yang dikenakan kepada isi rumah dan perniagaan terhadap sampah yang dihasilkan mengikut jumlah merupakan cara tepat dalam mengurangkan sampah. Skim yang sama berjaya dilakukan di Taipei dan Seoul.
Namun, pihak pentadbiran teragak-agak untuk melaksanakan tindakan tersebut kepada orang awam, perniagaan, manakala ahli politik pembangkang pula asyik mendesak supaya polisi terbabit dijalankan.
"Kerajaan tidak mahu melakukan sebarang tindakan terlalu drastik dan kreatif kerana akan berdepan kesusahan dalam LegCo (Majlis Undangan Hong Kong)," kata Pengarah Sahabat Bumi Hong Kong, Edwin Lau.

TIMBUNAN sampah sarap yang semakin tinggi di Hong Kong menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis alam sekitar.


Kitar semula
Edwin berkata, levi beg plastik sebanyak HK$0.50 (RM0.18) yang diperkenalkan pada tahun 2009, kini meliputi 3,000 buah kedai termasuk pasar raya dan kedai serbaneka telah menunjukkan sistem bayaran sangat efektif dalam mengubah tingkah laku orang ramai.
Menurut EPD, penggunaan beg plastik dalam kalangan peruncit di bawah skim terbabit mampu mengurangkan bahan tersebut sehingga 90 peratus.
Cadangan-cadangan yang dibincangkan adalah seperti membesarkan tapak pelupusan sampah sekarang dan membina insinerator.
Bagaimanapun, kedua-dua kertas cadangan itu tidak popular dalam kalangan penduduk tempatan dan beberapa kumpulan aktivis alam sekitar.
Sementara itu, beberapa kumpulan dengan skala kecil cuba menyampaikan mesej pada peringkat akar umbi.
Kitar Semula Hong Kong merupakan sebuah lagi organisasi tidak berasaskan keuntungan dan ditubuhkan pada tahun lalu. Kumpulan itu memberikan empat buah beg boleh diguna semula kepada pelanggan.
Beg-beg itu digunakan dengan cara mengasingkan sampah bergantung kepada jenis iaitu kertas, plastik, metal dan kaca untuk kitar semula. Ia dikutip di pintu rumah sekali seminggu.
"Kami fikir ini merupakan jalan yang paling senang untuk mereka kerana kitar semula sebelum ini tidak mendapat sambutan kerana orang ramai malas berjalan sambil membawa sampah ke pusat komuniti," kata pengurus operasinya, Joshua Tan.
Pelanggan berdaftar membayar HK$25 (RM8.95) seminggu untuk perkhidmatan itu.
Pengarah syarikat peruncitan, Marc Dambrines, 39, yang menetap di Hong Kong selama 17 tahun berkata, dia mendaftar kerana Kitar Semula Hong Kong dapat menerangkan dengan jelas kepadanya destinasi sampah yang dikutip dan cara digunakan.
"Mudah mengitar semula, itu jalan terbaik yang kita ada," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: