Wednesday, May 1, 2013
Seni jalanan yang tidak dihargai
GRAFITINYA berbentuk tulisan kaligrafi Cina dibuat menggunakan berus yang dicelut dakwat hitam pekat. Ia menggambarkan sebuah cerita tentang diri artis tersebut yang percaya wilayah tersebut kepunyaannya.
Tsou-choi yang mengaku sebagai Raja Kowloon hidup dalam kemiskinan. Bagaimanapun, dia kemudiannya diangkat menjadi hero apabila kira-kira 55,000 kerja seni luarannya mendapat perhatian antarabangsa. Dalam tempoh lima dekad itu hampir semua tempat daripada peti surat sehingga jejambat terdapat lukisan grafitinya.
Tsou-choi meninggal dunia pada tahun 2007 iaitu ketika berusia 85 tahun. Enam tahun kemudian, hanya empat seni jalanan yang dibuatnya masih terpelihara, manakala yang lain terhapus seiring gelombang pembangunan semula atau kerja-kerja mengecat oleh pihak berkuasa.
Pertahan tinggalan sejarah
Komuniti seni Hong Kong ketika ini sedang berjuang bagi memulihara tinggalan sejarah yang masih ada di tempat-tempat awam itu.
"Kerja-kerja si Raja perlu berada di jalanan, tetapi kebanyakannya sudah terhapus atau dibersihkan. Justeru, bagi menyelamatkan hasil karya tersebut, kami perlu memeliharanya," kata jurugambar, Simon Go.
Simon merupakan kawan Tsou-choi dan menjalankan sebuah organisasi warisan Hong Kong, Hulu Culture.
Warisan sering menjadi mangsa pembangunan di Hong Kong dan kerajaan sering dikritik kerana tidak mengambil berat pemuliharaan sejarah budaya.
Pengkritik seni yang juga kawan kepada Raja Kowloon, Lau Kin Wai berkata, dia pernah cuba menyakinkan pihak berkuasa bagi menyelamatkan kerja-kerja Tsou-choi, tetapi gagal.
"Ia membuatkan saya marah, LCSD (Jabatan Perkhidmatan Budaya dan Senggang) tidak mempunyai deria budaya.
"Dia merupakan salah seorang artis grafiti moden terawal tetapi mereka mempersoalkannya," katanya kepada pemberita AFP.
Tsou-choi berhijrah ke Hong Kong semasa remaja dari wilayah China, Guangding dan memulakan kerjaya grafiti prolifik pada tahun 1950-an.
Dia percaya, leluhurnya pernah memerintah daerah Kowloon. Seni jalanan Tsou-choi mempromosi haknya sebagai pemerintah monarki di situ.
Karyanya menggambarkan salasilah keluarga dan penentangan terhadap kuasa kolonial secara terang-terangan yang dilakukan pada tiang-tiang dengan menggunakan tulisan karakter Cina.
Di Hong Kong, dia bekerja sebagai pengumpul sampah sehingga patah kedua-dua kaki pada usia sekitar 60-an. Kejadian itu tidak mematahkan semangatnya malah, sanggup menggunakan topang ketiak ketika mengecat.
Hero Hong Kong
Disalah erti sebagai lelaki tua gila dan kerap kali ditahan atas kesalahan vandalisme, dia akhirnya diangkat menjadi hero Hong Kong apabila bandar itu diserahkan Britain kepada China pada tahun 1997.
Ketika penyerahan semula itu, orang ramai mencari-cari identiti tempatan yang signifikan.
Grafiti Tsou-choi mula menjadi perhatian dan pada tahun 1997. Pereka fesyen Hong Kong, William Tang menggunakan imej grafiti tersebut untuk koleksi rekaannya.
Tidak cukup dengan itu, karya seni Tsou-choi muncul dalam persembahan seni Venice Biennale. Serpihan seninya seperti yang ditulis pada kertas, kayu dan objek-objek lain menjadi barang-barang yang digemari pengumpul.
Pada tahun 2011, sebuah kotak metal yang mempunyai kaligrafi Tsou-choi dijual di Sotheby, Hong Kong pada harga HK$800,000 (RM313,995).
Walaupun, Tsou-choi telah dianggap sebagai hero, para penyokongnya berpendapat, perkara paling penting ialah memulihara seni jalanan asli Raja itu.
"Sebahagian karyanya sepatutnya berada di tempat awam. Sesuatu perlu dilakukan supaya karya seni itu dapat dijaga di tempat asal," kata Kin Wai.
Seiring dengan hasil kerja artis tersebut yang semakin hilang, para penyokongnya mengambil langkah nekad dengan membina sebuah arkib.
Para pengkritik dan kurator berkerjasama menulis sebuah buku bertajuk, King of Kowloon: The Art of Tsang Tsou-choi yang bakal dikeluarkan pada bulan ini.
Buku itu merupakan monografi hasil kerja lelaki tersebut termasuk foto-foto yang jarang dan tidak pernah diterbitkan.
Sementara itu, generasi muda Hong Kong meneruskan tradisi yang dimulakan Raja itu meskipun dengan menggunakan seni grafiti gaya Barat dan tin cat penyembur.
"Semua artis grafiti muda pasti kenal The King. Dia seorang perintis. Dia tidak pernah berputus asa. Dia keluar di jalanan dan buat apa yang mahu dilakukan dan tidak takut pada pihak kuasa," kata seorang pelukis jalanan dikenali sebagai Jams, berusia 27 tahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: