Thursday, May 16, 2013

Mampu jadi fenomena



MERUJUK kepada perkembangan dunia perfileman tempatan ketika ini, ternyata filem bercorak Islamik atau berunsur Islam agak kurang mendapat sambutan penonton.
Biasanya, penonton akan lebih memilih kepada filem-filem yang bergenre cinta, aksi, komedi atau seram apabila pergi menonton sesebuah filem di pawagam.
Ia dibuktikan berdasarkan kutipan untuk tayangan keempat-empat genre filem tersebut yang biasanya mendapat kutipan yang tinggi, manakala filem bercorak Islamik pula seolah-olah dipandang sepi oleh penonton.
Mengulas mengenai penerimaan terhadap filem-filem bercorak sedemikian, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azhari Zain berkata, filem Islamik sebenarnya mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Menurut Azhari, untuk memberi gambaran sesuatu filem itu diterima atau tidak oleh masyarakat, ia tidak sepatutnya dinilai berdasarkan kepada kutipan tiket di pawagam semata-mata.
"Saya berpendapat bahawa penonton filem bercorak Islamik ini mempunyai kelompok peminat yang tersendiri, misalnya golongan ustaz dan ustazah atau mereka yang lebih cenderung kepada agama.
"Sebelum ini saya sudah menjadi pengarah kepada tiga buah filem Islamik seperti 99 Kali Rindu, 7 Petala Cinta dan Salam Cinta.
"Ternyata ada beberapa orang ustaz yang menghubungi saya dan memberi maklum balas positif," jelasnya yang juga merupakan seorang pensyarah.
Ujar Azhari, biarpun filem-filem sedemikian kurang meraih sambutan di pawagam, tetapi ia akan meraih banyak tontonan apabila ditayangkan di Astro First atau menerusi penjualan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD).
Menurutnya, situasi tersebut terjadi kerana wujud golongan penonton yang meminati filem-filem genre Islamik kurang gemar memilih panggung wayang untuk menonton filem dan lebih suka jika menonton di kaca televisyen di rumah bersama ahli keluarga.
"Bayangkan jika ada golongan ustaz yang pergi ke panggung wayang dengan memakai kopiah atau songkok. Sudah tentu akan ada segelintir pihak yang berasa agak pelik sehingga mewujudkan pandangan skeptikal.
"Jadi, langkah yang terbaik ialah dengan menonton sahaja di rumah dengan melanggan filem yang ingin ditonton menerusi Astro First atau membeli VCD dan DVD sahaja," ujarnya.

SYAMSUL dan Liyana Jasmay dalam satu babak filem Khurafat.


Ketika ditanya tentang perkembangan filem-filem Islamik ini pada masa akan datang, Azhari meluahkan keyakinannya bahawa filem sedemikian mempunyai masa depan yang cerah.
Ujarnya, tidak mustahil penerbitan filem Islamik akan menjadi satu fenomena berdasarkan kepada situasi yang pernah berlaku dalam industri nyanyian menerusi irama nasyid sekitar tahun 1990-an.
"Kita dapat melihat bahawa suatu masa dahulu irama nasyid ini tidak memiliki pendengar yang ramai, tetapi setelah munculnya beberapa kumpulan seperti Raihan dan Rabbani situasinya sudah mula berubah.
"Pada masa itu, irama nasyid mendapat sambutan yang sangat luar biasa sehingga banyak kumpulan nasyid yang muncul. Maka, tidak mustahil kalau situasi yang sama boleh berlaku kepada industri perfileman pula," tegasnya.
Pada masa yang sama, pengarah tersebut berharap supaya lebih ramai penerbit dapat menghasilkan filem bercorak Islamik dan tidak perlu risau tentang kutipan yang akan diperoleh di pawagam.
Menurutnya, masih lagi ramai penonton yang sememangnya menantikan filem-filem Islamik ini, terutama yang memaparkan jalan cerita yang baik dan mampu menarik minat orang ramai untuk menontonnya.
Mengenai kebanyakan filem berunsur agama ini yang masih menerapkan elemen cinta dalam penceritaan, Azhari berpendapat bahawa ia merupakan salah satu langkah untuk menarik minat golongan muda menonton sesebuah filem itu.
"Tidak dinafikan tema percintaan masih lagi menjadi pilihan kerana ia sangat dekat dengan kehidupan golongan muda, tetapi apa yang dipaparkan sudah tentu kisah cinta yang berlandaskan hukum agama," jelasnya.
Bagi melihat perkembangan filem Islamik dalam industri perfileman di negara ini, Azhari menyatakan,, dia kini sedang sibuk menyiapkan sebuah kajian iaitu Mencari Identiti Filem Islamik Di Malaysia yang akan dibentangkan pada bulan hadapan.
Tidak putus asa
Penerbit MIG Productions Sdn. Bhd., David Teo mengakui, penghasilan filem-filem berunsur agama sememangnya kurang memberikan keuntungan yang lumayan berbanding genre filem yang lain.
FILEM Dua Kalimah gagal meraih kutipan pecah panggung di pawagam biarpun menampilkan gandingan pelakon popular, Nora Danish dan Shaheizy Sam.


Ujarnya, meskipun sekadar balik modal, ia tidak menghalang buat dirinya untuk terus menerbitkan filem-filem bercorak sedimikian dan menganggap ia satu cabaran buat penerbit filem sepertinya.
"Sewaktu mula-mula berkecimpung dalam industri ini, filem pertama yang saya terbitkan ialah Syukur 21 pada tahun 2000 dan ia merupakan filem bercorak Islamik.
"Ternyata filem tersebut gagal di pasaran dan saya telah mengalami kerugian lebih RM2 juta.
"Namun begitu, ia langsung tidak membuat saya putus asa untuk terus menerbitkan filem-filem agama," jelasnya ketika pelancaran filem 99 Kali Rindu baru-baru ini.
Menurut David, dia tidak terlalu berasa gusar sekiranya sesebuah filem yang diterbitkan itu mencatatkan kutipan yang rendah di pawagam kerana kini sudah ada pendekatan lain yang mampu menampung kos penerbitan.
Ujarnya, dalam filem Dua Kalimah kutipan hasil tayangan di pawagam seluruh Malaysia yang diraih cuma mencecah RM700,000, meskipun menampilkan pelakon popular seperti Shaheizy Sam dan Nora Danish.
"Apabila ditayangkan di Astro First pula, Dua Kalimah mampu memperoleh sebanyak RM300,000 dalam tempoh empat hari dan sudah tentu kerugian yang dialaminya sebelum ini dapat diatasi," ujarnya.
Sebagai penerbit yang banyak menerbitkan filem Islamik seperti Syukur 21, Syurga Cinta, Salam Cinta, 7 Petala Cinta dan 99 Kali Rindu, David berpendapat bahawa punca tidak ramai penerbit yang mahu menghasilkan filem berunsur agama ini kerana risau mengalami kerugian.
"Saya masih kekal dengan pendirian bahawa filem-filem sebegini akan terus diterima ramai, tetapi saya juga berharap agar sambutan yang diterima semakin meningkat pada masa akan datang," ujarnya.
Medium dakwah
Bagi pengarah yang terkenal dengan filem-filem aksi, Syamsul Yusof menyatakan bahawa bidang perfileman sebenanya mampu menjadi medium yang paling efektif untuk berdakwah.
Ujarnya, pada era globalisasi sekarang ini, pendekatan menerusi filem merupakan salah satu cara paling berkesan menyampaikan mesej, seperti yang dilakukan oleh penggiat filem di Barat yang menggunakan filem untuk menyebarkan propaganda mereka.
"Saya akui terlalu banyak kepincangan yang dilakukan apabila menghasilkan filem tentang gangster dan bohsia, tetapi pada masa yang sama saya cuba menerapkan nilai-nilai kesedaran melalui agama.
"Secara jujurnya, saya akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang ada serta lebih memberi lebih penekanan terhadap elemen keagamaan dalam filem-filem yang dihasilkan nanti," ujarnya.
Menurut Syamsul lagi, Khurafat merupakan filem pertama arahannya yang cuba diterapkan nilai-nilai agama secara lebih mendalam, termasuk lagu temanya iaitu Ya Robbi yang berunsur keagamaan.
"Selepas filem KL Gangster 2, saya telah merancang untuk menerbitkan sebuah filem genre keagamaan. Jalan ceritanya pula sudah dirangka dan ia memang berbeza dengan filem-filem saya yang lepas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: