Kantoi guna kad pengenalan palsu
Anggota Imigresen sedang menyoal siasat seorang warga asing di sebuah kilang di Bukit Raja, Klang, baru-baru ini.
SHAH ALAM - “Kalau tidak mempunyai IC (kad pengenalan) susah untuk saya dapatkan pekerjaan,” demikian alasan seorang wanita warga asing kepada pihak imigresen sewaktu ditahan kerana memiliki kad pengenalan palsu.

Wanita itu antara 11 warga asing yang ditahan dalam ‘Ops 6P’ yang digerakkan bahagian penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor di empat buah lokasi sekitar Bukit Raja dan Shah Alam, baru-baru ini Wanita yang dikenali sebagai Isra. 39, berkata, dia sudah berada di Malaysia sejak Jun tahun lalu namun permohonannya untuk mendapatkan pekerjaan di beberapa buah kilang tidak berjaya.

Wanita itu kemudiannya menceritakan masalah itu kepada kenalannya.

“Kawan minta wang RM300 dan sekeping gambar untuk membuat kad pengenalan palsu dan kad pengenalan ini telah saya gunakan sejak Ogos tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Norazilawati Che Anuai mengakui warga asing boleh membuat kad pengenalan palsu dengan mudah.

“Mereka cuma perlu menyediakan wang antara RM300 sehingga RM500 dan sekeping gambar untuk membuat kad pengenalan palsu,” katanya
ketika ditemui wartawan Sinar Harian, semalam.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan warga asing supaya menggunakan dokumen yang sah untuk bekerja bukannya dokumen palsu yang boleh dikenakan tindakan.

Dalam operasi sama turut ditahan enam orang warga Indonesia dan lima warga  Nepal berusia 23 hingga 40 tahun.

Norazilawati berkata, mereka ditahan kerana tidak memiliki pas perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

Menurutnya, semua yang ditahan  dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.