IPAD dijadikan alat untuk mengawal kanak-kanak yang hiperaktif. - Gambar hiasan
|
DAHULU, permainan konda kondi, teng-teng, patung kertas dan dam ular menjadi mainan wajib ketika kanak-kanak bercuti sekolah.
Kesemua permainan itu bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan pada masa lapang tetapi ia turut membantu menjana kreativiti.
Malah, permainan patung kertas yang melibatkan aktiviti padan suai pakaian patung kertas turut membuatkan kanak-kanak berfikir dengan kreatif.
Bagi permainan konda kondi atau teng teng pula, fizikal pemainnya akan lebih cergas kerana permainan itu memerlukan banyak pergerakan fizikal.
Namun, permainan-permainan ini sudah tidak dikenali oleh kanak-kanak pada zaman moden yang lebih obses terhadap gajet-gajet terkini seperti iPad.
Kesemua gajet berkenan tidak memerlukan mereka mengeluarkan peluh sebaliknya hanya mata dan jari jemari aktif berinteraksi.
Di sebalik kebaikan penggunaan gajet yang diuar-uarkan syarikat pengeluar, masyarakat antarabangsa baru-baru ini dikejutkan dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun di London yang terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri berikutan ketagih bermain iPad.
Pakar psikiatri Dr. Richard Graham yang merawat kanak-kanak itu berkata, kanak-kanak tersebut menunjukkan protes dan mengamuk apabila gajet itu diambil daripadanya.
Kanak-kanak tersebut merupakan salah seorang daripada pesakit yang menghadapi gejala ketagihan iPad.
Tambah Graham, ada kanak-kanak yang menghabiskan masa selama 36 jam seminggu untuk bermain gajet tersebut.
Katanya, alat-alat eletronik seperti tablet dan iPad boleh menyebabkan ketagihan sekali gus menyebabkan seseorang menjadi pemberontak.
Mengulas isu sama, pakar kaunselor kanak-kanak, Puteri Azlian Megat Ramli berkata, fitrah semula jadi kanak-kanak sememangnya gemar berseronok.
“Proses ini sebenarnya sangat penting untuk perkembangan mereka tetapi biarlah sesuai dengan peringkat umur mereka,” ujar Puteri Azlian.
Jelasnya, situasi itu mungkin berlaku disebabkan kanak-kanak malu dan ragu-ragu apabila autonomi yang diberikan oleh ibu bapanya ditarik balik.
“Autonomi yang dimaksudkan ialah tindakan ibu bapanya yang mengambil alat tersebut sedangkan sebelum ini dia dibiarkan bermain iPad mengikut kemahuannya.

PERMAINAN dam ular tidak sepopular
dahulu kerana kemunculan permainan interaktif di dalam gajet terkini
yang lebih menarik. - Gambar hiasan
“Hal ini juga boleh mendatangkan perasaan kurang yakin dan rasa rendah diri tentang keupayaan diri mereka,” tegasnya.
Tambahnya, penggunaan iPad seawal usia tiga atau empat tahun sebenarnya tidak sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.
“Pada peringkat umur dua hingga tujuh tahun, aspek-aspek perkembangan fizikal yang penting untuk seseorang kanak-kanak ialah perkembangan deria, otot motor halus dan otot motor kasar serta koordinasi tangan seta mata.
“Apabila mereka menghabiskan masa hingga berjam-jam lamanya untuk iPad, proses perkembangan ini akan terganggu,” jelasnya.
Daya tumpu
Katanya, penggunaan iPad hanya menggunakan sentuhan satu atau dua jari dan pandangan mata malah posisi badan juga lebih bebas.
“Jadi, aktiviti ini tidak membantu dalam perkembangan penderiaan dan motor kanak-kanak kerana tidak banyak pergerakan anggota badan yang dilakukan.
“Daya tumpu mereka juga lebih terbatas ekoran imej yang sering bergerak dan bertukar ganti pada skrin gajet tersebut dalam tempoh beberapa saat,” ceritanya.
Jelasnya, impak yang lebih besar mungkin boleh berlaku seperti melakukan tindakan agresif yang mungkin boleh mencederakan dirinya atau orang di sekelilingnya.
“Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak dapat membuat penilaian dan tidak boleh membezakan realiti menyebabkan mereka boleh meniru aksi yang dipaparkan dalam permainan digital atau rakaman video yang ditonton.
“Mereka hanya memikirkan apa yang mereka mahu buat dan bersikap egosentrik, iaitu tidak memikirkan tentang orang lain,” ujar Puteri Azlian.
Katanya lagi, pernah ada kes penyebaran video di laman YouTube yang menunjukkan aksi seks membabitkan kanak-kanak berumur sekitar 12 tahun.
“Perkara ini amat membimbangkan kerana pada usia semuda itu mereka sudah pandai melakukan aksi sedemikian.
Sementara itu, menurut Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Anak-anak Malaysia (Pama) Mohd. Fairuz Mohamed Isa, kanak-kanak secara semula jadi berkeinginan untuk popular, berhibur dan berseronok dengan rakan sebaya.
“Penggunaan gajet memudahkan kanak-kanak mencapai keinginan mereka kerana gajet menjanjikan sesuatu yang menghiburkan,” jelasnya.
Radiasi
Jelasnya, dari aspek keselamatan, kanak-kanak boleh terdedah kepada bahaya radiasi ekoran penggunaan alat elektronik yang terlalu lama.
“Kandungan aplikasi yang tidak sesuai dengan adegan melampau yang ganas atau lucah boleh menyebabkan ketagihan kerana kandungannya yang menyeronokkan.
“Selain itu, iklan dalam talian yang tidak sesuai bagi kanak-kanak kerana ada aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun secara percuma mempunyai iklan-iklan yang tidak sesuai dengan kanak-kanak,” ujar Mohd. Fairuz.
Bagaimanapun, Mohd. Fairuz tidak menafikan kepentingan dan kebaikan penggunaan gajet canggih untuk semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak.
“Penggunaan gajet boleh membantu ibu bapa mengawal anak-anak yang aktif daripada bertindak di luar kawalan mereka.
“Kanak-kanak yang lasak ini akan leka dan fokus pada permainan interaktif yang terdapat dalam alat yang mereka pegang,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: