'Kalu dok bagi pitih, aku tumbuk mu'
Juamren dipenjara setahun selepas mengaku bersalah mengugut ibunya.
KUALA TERENGGANU - Seorang anak tergamak mengeluarkan kata-kata ugutan akan memukul ibu kandungnya serta akan membakar kediaman mereka selepas bengang kegagalan mangsa menyerahkan wang seperti mana rutin harian sebelum ini.

Bagaimanapun perbuatan anak kelima daripada 10 beradik itu, Juamren Embong, 29, terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Hukuman itu diputuskan selepas dia yang tidak bekerja itu mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah kepada ibunya, Wok Embong, 61, dengan niat menyebabkan mangsa berasa cemas.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu di kediaman mereka di Kampung Duyong Besar, di sini, pada 7 Mei lalu, kira-kira jam 7.20 petang.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa sedang berehat di ruang tamu selepas pulang dari bekerja sebagai tukang sapu di sebuah syarikat swasta, sebelum didatangi Juamren dalam keadaan marah-marah.

Juamren kemudian menumbuk almari yang ada di dalam rumah berkenaan sehingga berlubang dan mengeluarkan kata-kata “kalu dok bagi pitih, aku pukul mu, bakar rumah” terhadap mangsa.

Disebabkan terlalu takut, mangsa terus menyerahkan wang seperti mana dikehendaki dan kejadian itu turut disaksikan menantu mangsa yang secara kebetulan ada di rumah berkenaan.

Bimbang keselamatan dirinya selain sudah tidak tahan melayan karenah Juamren yang setiap hari meminta wang untuk membeli dadah, mangsa nekad membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga.