Nursuhaila, 27, berkata, Jimmy juga tidak pernah bertanya khabar sama ada menerusi panggilan telefon atau pun khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai perkembangan anak mereka itu.
"Saya mahu proses menjaga Zahrah secara bersama dilakukan dengan ikhlas demi kebajikannya kerana tetapi saya merasakan Jimmy tidak ikhlas menjaga anak kami dan tidak pernah bertanya khabar tentangnya.
"Malah apabila saya maklumkan anak dimasukkan ke hospital pada 16 April lalu dia langsung tidak datang atau bertanya tentang kesihatan Zahrah.
"Tetapi sebaliknya dia boleh menghantar SMS marah-marah dan tidak menghiraukan mesej yang saya sampaikan mengenai tarikh hari lahir anak kami," jelasnya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini pada Khamis.
Nursuhaila mengulas mengenai tindakan Jimmy yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakannya atas dakwaan ingkar terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka, Zahrah Rania yang berusia hampir dua tahun.
Bagaimanapun, Nursuhaila pada 19 April lalu telah memfailkan permohonan ubah perintah serta penggantungan perintah mahkamah dan Hakim Syarie, Mawardi Che Man yang mendengar kes itu pada Khamis (semalam) mengarahkan permohonan dipinda semula kerana ia tidak jelas dan mengelirukan.
Dalam pada itu, Nursuhaila berkata, dia tidak pernah berniat untuk mengingkari perintah mahkamah dengan sengaja mahupun memisahkan seorang anak dengan bapa kandungnya.
Nursuhaila sebaliknya berkata, dia berharap anaknya itu dapat mengenali dan mendapat kasih sayang daripada Jimmy sebagai bapa.
"Saya membuat permohonan agar hak bermalam dengan Jimmy ditangguhkan hanya semata-mata kerana kesihatan dan kebajikan Zahrah.
"Malah perintah itu bukan dibuat secara kekal sebaliknya hanya sementara dia menguruskan dirinya memandangkan umurnya baru setahun 11 bulan.
"Tambahan pula Jimmy tinggal seorang diri dan dia selalu tiada di rumah. Malah keadaan rumahnya yang tidak terurus menyebabkan saya bimbang keselamatan anak," jelasnya.
Sementara itu, Nursuhaila berkata, dia berharap selepas ini Jimmy tidak lagi menghebohkan tentang pergolakan hubungan mereka di akhbar demi menjaga hubungan kekeluargaan iaitu mereka sebagai ibu dan bapa Zahrah.
"Saya harap dia tidak menghebohkan mengenai perkara yang dia sendiri tidak boleh buktikan di mahkamah kepada masyarakat termasuk hak lawatan kerana ia sedang diadili di mahkamah," katanya.
Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dekat sini.
Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai secara tebus talak dengan bayaran RM1 pada 10 Oktober 2012.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: