Wednesday, May 22, 2013

Gadis cina permata bharatanatyam



BUNYI gesekan biola, bersatu dengan sejenis dram dipanggil mridangam, serunai, veena (sejenis peralatan seperti gitar) dan nattuvangam (sejenis alat muzik terbentuk daripada sepasang piring loyang) mula bergema di dalam dewan.
Suara lunak penyanyi yang mendendangkan lagu dalam bahasa Tamil juga menambahkan lagi keindahan malam itu.
Seorang penari kemudian muncul di tengah-tengah pentas mengenakan sari berwarna biru dengan alatan aksesori yang sarat di kepala dan loceng kaki.
Wajah penari itu disolek tebal dengan tumpuan diberikan di bahagian mata.
Seiring alunan irama muzik dan nyanyian, penari itu mula membuka langkah tari. Kepalanya mula diayunkan ke kanan dan ke kiri bersama lirikan mata yang bundar. Tangannya pula dibengokkan ke sisi sambil jari-jemari turut sama melentik.
Sesekali membongkokkan tubuh, penari itu pantas bergerak ke kiri dan ke kanan pentas. Adakalanya dia menghentakkan kaki menghasilkan gemerincing bunyi loceng yang lunak dan pada kebanyakan masa hujung kakinya diginjat membentuk satu posisi signatur tarian klasik India.
Hampir dua jam melentur tubuh dengan gerakan-gerakan sukar tarian klasik dipanggil bharatanatyam, penari itu mendapat tepukan gemuruh penonton.
Bunyi tepukan bertambah kuat di dalam Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Kuala Lumpur baru-baru ini, malah ada penonton yang berdiri memberikan hormat. Ternyata penari itu begitu istimewa di hati hadirin.
Apabila penari tersebut menanggalkan solekan dan bersalin pakaian, akhirnya terjawablah persoalan mengapa beliau merupakan permata istimewa dalam tarian bharatanatyam.
Kulitnya putih, matanya sepet dan nama penari muda itu ialah Ng Xinying, 23.
Xinying membuat persembahan itu sebagai tanda tamat pengijazahan dalam bidang tarian di Aswara.
Malaysia sememangnya mempunyai ramai penari klasik berbakat berketurunan India, malah beberapa penari Melayu juga menempa nama contohnya Ramli Ibrahim dan Zamin Harun.

XINYING (tengah) bersama keluarganya selepas tamat persembahan bharatanatyam di Aswara baru-baru ini.


Bermula dengan balet
Namun, Xinying begitu unik. Permata baharu bharatanatyam itu membuktikan gadis Cina juga mampu menguasai tarian klasik India.
Berbeza daripada tarian biasa, bharatanatyam memerlukan penarinya menggerakkan seluruh tubuh badan termasuk jari-jemari tangan dan kaki selain mimik wajah.
Saat Xinying menunjukkan tapak kakinya yang merekah dan mengelupas, ternyata tarian itu bukan dikuasai Xinying dalam tempoh seminggu dua.
Xinying hakikatnya memerlukan lebih lima tahun untuk menguasai bharatanatyam sejak melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah.
Menurut Xinying, dia sendiri tidak menyangka akan menguasai tarian klasik India kerana sebelum belajar di Aswara dia sendiri tidak pernah menyaksikan tarian-tarian tersebut.
Bagaimanapun, bakat Xinying dalam bidang tarian sebenarnya sudah berputik sejak kanak-kanak lagi.
Semuanya bermula ketika dia berumur empat tahun. Pada masa itu, apabila terdengar muzik, badannya akan mula bergoyang-goyang dan kaki mula terjengket-jengket.
Menyedari kecenderungan Xinying dalam bidang tarian, ibu bapanya, Heng Guay Looe, 53, dan Ng Boon Chye, 53, menghantar anak sulung mereka ke kelas balet.
Hampir empat tahun mempelajari tarian balet di sebuah kelas tarian di Johor Bahru, Johor dia akhirnya berjaya menamatkan tarian tersebut.
Sepanjang mempelajari tarian itu, dia mengakui tidak pernah ketinggalan kelas berkenaan.
"Tidak kira apa yang berlaku, saya tetap mahu ke kelas balet," ujarnya yang menyimpan impian menjadi seorang koreografer tarian pada satu hari nanti.
Sejak itu sehingga melangkah alam dewasa, sekiranya ada persembahan tarian di sekolah, Xinying akan mengambil bahagian.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Xinying terus mengintai peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tarian.
Melihat kepada kos yuran yang berpatutan di Aswara dan dengan sokongan ibu bapa, dia akhirnya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di sana.
Bertutur lanjut, gadis yang berpakaian lengkap salwar kameez berwarna kuning itu memberitahu, dia memilih Diploma Tari yang merangkumi tarian Melayu, India, Cina, kontemporari, balet serta etnik Sabah dan Sarawak.
Ketika menuntut pengajian di peringkat Diploma Tari, pelajar dikehendaki mempelajari semua jenis tarian.
"Sebaik tamat diploma, dari situlah saya mula meminati tarian India kerana merasakan ia sangat unik. Ketika melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pula tahun 2010, baru boleh fokus apa yang kita minat. Jadi, saya buat pengkhususan dalam persembahan tarian kontemporari dan mengambil subjek tambahan tarian bharatanatyam untuk tahun akhir," ujarnya.

BEBERAPA aksi tarian menarik bersama ekspresi wajah tersendiri yang dipersembahkan Xinying di Panggung Eksperimen Aswara.


Ekspresi wajah
Berbanding dengan tarian Melayu, Cina dan lain-lain, dia mengakui tarian India sememangnya sangat mencabar. Tarian tersebut bukan sahaja menggunakan tenaga untuk menghentak kaki, tangan, kepala mengikut rentakan lagu yang sangat laju, malah kadangkala perlu melompat.
Bukan sahaja pergerakan kepala, tangan, badan dan kaki sahaja yang penting, malah ia menuntut kemahiran mengungkapkan pancaindera mata bagi membangkitkan emosi penonton.
"Ia bukan mudah kerana bayangkan dulu pada awal pengajian setiap hari saya menangis kerana gagal berbuat demikian," ujarnya.
Bahkan, dia terpaksa menonton filem klasik Tamil versi hitam putih untuk mempelajari reaksi muka pelakon ketika marah, gembira, sedih mahupun kecewa.
"Tarian bharatanatyam memerlukan seseorang penari itu melahirkan ekspresi yang berlebihan. Jadi, saya cuba mempelajarinya dengan menonton filem Tamil dan kemudian mempraktikkannya di hadapan cermin," jelasnya.
Ketika diminta mengulas mengenai tarian tersebut yang sifat asalnya berkait rapat dengan tuhan-tuhan Hindu, ujar Xinying, dia melihat bharatanatyam dari sudut tarian dan budaya semata-mata kerana pensyarah yang mengajarnya juga tidak memasukkan elemen agama dalam tarian.
"Apabila pensyarah menerangkan kewujudan dewa dalam cerita yang akan ditarikan, kami mengambil naratif sahaja supaya tarian itu dapat dipersembahkan dengan baik.
"Bagi saya, selagi berpegang teguh kepada agama serta tahu membezakan mana yang benar dan silap, perkara seperti terpesong agama tidak akan berlaku," ujarnya lagi.
Hafal lirik lagu Tamil
Satu lagi cabaran dalam menguasai bharatanatyam adalah apabila Xinying terpaksa menghafal beratus-ratus lirik dalam bahasa Tamil. Kebanyakan lirik itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris bagi membolehkan dia memahami maksudnya.
Bagi memperbaiki kelemahan menghafal lirik lagu itu, dia mencipta sendiri simbol-simbol untuk mudah difahami.
"Bagi setiap ayat, saya reka sendiri simbol supaya saya dapat faham dan menghafalnya untuk diekspresikan dalam tarian," tuturnya.
Menyentuh mengenai cara pembelajarannya, dia menunjukkan sehelai kertas putih yang tertera nama-nama dewa.
Berdasarkan nama dewa tersebut, dia perlu melakukan gerak anggota badan dan mimik muka yang berbeza.
"Bayangkan, saya terpaksa menghafal nama dewa-dewa dan diselangi dengan simbol yang saya reka sendiri," ceritanya dengan penuh ghairah.
"Saya amat bersyukur kerana mendapat keluarga dan pensyarah yang sangat memahami. Pensyarah tidak pernah marah, bahkan tidak putus-putus memberi tip yang berguna dalam tarian ini," ungkapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: