Bergelut dalam bilik tidur
Jehari menunjukkan hidungnya yang masih bengkak.
Bergelut dalam bilik tidur
Hafiz Khalish menunjukkan kesan jahitan di kepala datuknya.
Bergelut dalam bilik tidur
Jehari menceritakan kembali detik cemas dihadapinya kepada cucunya, Hafiz Khalish Mokhtar (kanan) dan Mohd Na’imullah Mokhtar.
KUALA TELEMONG - “Ketika bergelut, tiba-tiba kepala pakcik dipukul objek keras keras hinggakan badan dipenuhi darah. Pakcik juga ditumbuk di bahagian muka dan dicekik ketika cuba mempertahankan diri,” cerita Jehari Ahmad, 77.

Menceritakan kejadian disamun seorang lelaki bertopeng di rumahnya di Kuala Telemong, kira-kira jam 2 pagi malam kelmarin, warga emas itu bukan sahaja kerugian wang tunai kira-kira RM12,000 tetapi turut menerima 10 jahitan di kepala dan patah tulang hidung.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan sejak empat tahun lalu baru sahaja melelapkan mata sebelum secara tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu lalu bingkas bangun.

“Pintu bilik tidur pakcik separuh cermin. Mulanya, pakcik terfikir mungkin terlupa menutup televisyen kerana ternampak cahaya dari arah ruang utama rumah sebelum ternampak kelibat seseorang berjalan melintasi pintu bilik.

“Pakcik terus membuka suis lampu utama rumah yang terletak dalam bilik tidur lalu menjenguk untuk melihat keadaan," katanya.

Didatangi lelaki bertopeng

Jehari berkata, secara tiba-tiba dia didatangi seorang lelaki bertopeng yang sebelum itu dipercayai telah bersembunyi di satu sudut dalam rumahnya.

“Lelaki terbabit turut memegang parang. Pakcik cuba mempertahankan diri dan berlaku pergelutan kira-kira 20 minit.

"Kami bergelut dalam bilik tidur pakcik dan ketika itu, pakcik turut dicekik beberapa kali serta ditumbuk di bahagian muka," katanya.

Menurutnya, ketika itu dia masih mampu melawan tetapi setelah kepalanya dipukul objek keras beberapa kali menyebabkan dia semakin lemah.

"Pakcik dapat rasakan darah menitis dan mengalir sehingga memenuhi tubuh serta kain pelikat yang dipakai. Disebabkan keadaan lemah, pakcik hanya mampu melihat penyamun terbabit menggeledah bilik," katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit melarikan diri dipercayai terjun daripada pintu utama dapur.

Jalan kaki 200 meter

“Pakcik sempat mengambil parang dalam bilik dan melibas penyamun terbabit tetapi tidak kena, sebaliknya terkena tiang seri sebelum dia lari. Walaupun pakcik menjerit meminta tolong, namun tiada yang mendengarnya.

“Hanya selepas itu, dengan keadaan berlumuran darah, pakcik berjalan kaki kira-kira 200 meter ke rumah anak, Mazlan, 40-an di Kampung Lubuk Batu untuk meminta tolong," katanya.

Jehari berkata, berikutan kecederaan dialaminya, dia mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Telemong dan menerima 10 jahitan di kepala.

"Pakcik buat laporan polis di Balai Bolis Kuala Telemong kira-kira jam 5 pagi dan seterusnya ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

"Wang tunai tersebut sebenarnya untuk digunakan bagi kerja mengubah suai rumah dan tidak menyangka kejadian ini pula yang berlaku walaupun telah mengambil langkah dengan menyimpan duit tersebut di beberapa tempat berasingan," katanya.

Pencuri masuk ikut tingkap

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal dipercayai suspek memecah masuk rumah berkenaan melalui tingkap nako di bahagian dapur.

Menantu Jehari, Mokhtar Che Awang, 55, berkata, buat masa ini ayah mertuanya itu akan tinggal di rumahnya di kawasan Rumah Awam Kos Rendah Kuala Telemong.

"Ayah akan mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Khamis depan," katanya.