Aeril Zafrel
Aeril Zafrel
'PERANG' yang tercetus antara Mejar David Teo dan Aeril Zafrel, bagai belum ada titik kesudahannya.

Jika sebelum ini David membidas dengan mengatakan aktor itu tiada otak kerana kenyataan Aeril yang menyatakan dirinya diaibkan dengan pelbagai tohmahan dan ‘cakap-cakap belakang’ segelintir pekerja Metrowealth International Group (MIG).

Kali ini, David sekali lagi 'menembak' Aeril dengan mengatakan dia diperdaya aktor berusia 26 tahun itu kerana Aeril memperdayakannya dengan mendakwa ingin mempelajari ilmu agama sehingga mendorong dia menamatkan kontrak pengurusan artis di bawah syarikatnya lebih awal.

Mengakui agak terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan David, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari berkata, dia jadi tertanya-tanya apa niat sebenar bekas majikannya itu.

"Kadang-kadang saya terfikir, apa agenda dia? Adakah dia ingin memburukkan saya? Adakah dia ingin menyuruh orang lain membenci saya? Adakah dia mahu saya perakui segala jasanya?

"Saya tidak menipu. Saya memang keluar MIG kerana ingin mendalami ilmu agama, semuanya gara-gara saya terkena ilmu hitam dan ustaz yang mengubat saya, meminta saya mendalami ilmu agama bagi memastikan saya dapat membina benteng dari ilmu hitam.

"Sebab itulah tahun lalu saya tak banyak berlakon kerana berubat dan mendalami agama. Tiada istilah saya belajar agama untuk menipu dia. Saya nak tanya balik, salah ke niat saya mendahulukan agama?," ujarnya kepada Zass.

Aeril berkata, dia telah membuat keputusan untuk menamatkan kontrak dengan cara betul iaitu memaklumkan sendiri hasrat itu kepada David dan menghantar surat rasmi kepada syarikat.

"Dalam surat itu, saya ada berkata, jika tidak menerima sebarang balasan dalam masa tujuh hari, saya anggap mereka bersetuju. Jadi selepas tujuh hari surat itu diterima, saya tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Jadi saya fikir MIG telah bersetuju dengan keputusan saya dan akhirnya saya bergerak sendiri," jelasnya.

Enggan panjangkan pergaduhan

Aeril berkata, buat masa ini, dia tidak berhasrat untuk bertemu dengan David untuk berbincang segala rasa tidak puas hati, kerana bimbang akan ada pergaduhan lebih besar yang tercetus.

"Sebenarnya saya boleh jika mahu membalas balik dan mendedahkan keburukannya berserta bukti. Tapi guru saya ajar, kalau orang lemparkan kata-kata kesat kepada kita, kita balas dengan kebaikan.

"Saya ambil pengajaran atas segala yang berlaku. Tidak guna untuk marah-marah. Kalau asyik kita saja yang betul, ia tak akan habis juga," ujarnya tenang.

Masih terima tawaran

Menjelaskan isu tawaran berlakon bersama produksi di Hollywood dengan bintang Christina Ricci dan Sharon Stone, Aeril berkata, tawaran itu hanya muncul akhir tahun lalu, selepas dia hampir pulih.

"Mungkin ALLAH SWT turunkan rezeki buat saya, selepas lama tidak berlakon kerana berubat dan belajar agama. Jadi tidak mungkin saya tolak rezeki dan peluang sebegitu," katanya.

Aeril berkata, selain itu, dia juga sedang dalam persiapan untuk memasuki set penggambaran filem Tujuh arahan Raja Mukhriz tidak lama lagi.

Katanya, filem tersebut mengisahkan sekumpulan remaja pada 1970-an yang pergi ke sebuah pulau dan melalui episod mengerikan.

"Saya ada juga menerima beberapa tawaran lain, tetapi masih belum pasti. Jadi tidak perlulah saya berkongsi dahulu," katanya yang mungkin akan terbang ke Hollywood sekitar penghujung Jun ini.