Tuesday, December 4, 2012

Zizan Razak Nafi Enggan Luangkan Masa Dengan Peminat

Zizan Razak membalas jasa peminat-peminatnya dengan memberikan kualiti persembahan yang terbaik.
PETALING JAYA: Pelawak Zizan Razak menegaskan dia tidak pernah mengabaikan peminat-peminatnya meskipun tiada sebarang majlis keraian dianjurkan buat mereka yang sentiasa menyokongnya.
Zizan atau nama sebenarnya Zizan Abdul Razak, 28, berkata, sudah beberapa kali dia merancang untuk berbuat demikian seperti artis-artis lain yang menghargai peminat-peminat mereka, namun masalah kekangan masa membuatkan perancangan itu tidak menjadi.
"Bukannya tak terfikir, tetapi setiap kali merancang nak buat majlis untuk peminat-peminat mesti tak jadi kerana sibuk dengan kerja.
"Walaupun saya bukan seperti artis-artis lain yang sentiasa meraikan peminat, tetapi mereka tetap di hati dan sedikit pun tidak pernah mengabaikan mereka yang begitu setia dengan saya.
"Bagaimanapun sebagai pulangannya, saya akan memastikan persembahan yang diberikan adalah yang terbaik dan itu adalah antara cara saya membuatkan para peminat gembira dan berpuas hati," katanya.
Tambah Zizan, walaubagaimanapun, dia tetap akan menganjurkan sebuah majlis khusus buat para peminatnya apabila mempunyai masa terluang nanti.
Ditanya adakah keadaan itu membuatkan Zizan ingin menampakkan nilai eksklusif dalam dirinya, pelawak yang juga merupakan penyanyi rap menerusi lagu Bawa Aku Pergi (menampilkan Kaka) menafikannya.
Beritahu anak kelahiran Terengganu itu, dia bukannya selebriti yang meletakkan nilai eksklusif dengan menjauhkan diri daripada para peminat, dan pada masa sama tidak pernah berasa begitu istimewa sehingga memerlukan dia digelar sebegitu.
"Apa yang penting bagi saya adalah kualiti. Peminat inginkan benda yang berkualiti daripada artis kegemaran mereka. Dan itulah yang saya buat sekarang.
"Dan saya akan melakukan kerja di bidang yang bersesuaian dengan saya sahaja.
"Kiranya sebagai contoh, saya akan memberikan yang terbaik dalam seni lakonan dan pengacaraan, tetapi bukan sebagai penyanyi, kerana suara saya tak sedap," selorohnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: