Tuesday, December 25, 2012
Uchop, Mar berentap
KEHANGATAN bahang pentas akhir konsert Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua kini semakin terasa apabila persoalan peserta yang bakal berentap pada pentas final kini sudah terjawab.
Ternyata pemilihan finalis menepati ramalan ramai apabila Mohmad Yusof Ahmad (Ucop) dan Marlleynney Fane J.L Paul (Mar) diumumkan sebagai peserta yang layak memasuki peringkat akhir.
Ia sekali gus melenyapkan impian dua lagi peserta, iaitu Yusoff Md. Shah (Yus) dan Farah Nadeera Zaini (Nadeera) untuk melangkah ke final.
Uchop yang memulakan saingan pentas separuh akhir mempertaruhkan lagu yang dipopularkan Jamal Abdillah, iaitu Seroja dengan vokal yang mantap dan bertenaga.
Bagaimanapun, Azmeer yang merupakan tenaga pengajar program itu berpendapat Uchop kelihatan sedikit gementar sehingga mengganggu nyanyiannya.
Ternyata, anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur ini mendapat sokongan yang kuat daripada penyokongnya apabila dia berjaya mendahului peratusan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) pada peringkat awal iaitu sebanyak 86 peratus, sekali gus memastikan tempat di final menjadi miliknya apabila juri tetap turut bersepakat untuk memilihnya sebagai salah seorang finalis.
“Saya akui sedikit gementar sebentar tadi, namun saya akan cuba buat yang terbaik semasa peringkat akhir nanti.
“Sejujurnya, sudah tentu saya ingin menang, jadi saya akan memilih lagu yang bersesuaian dengan vokal saya dan memasang strategi bagi memenangi hati juri dan penonton,” ujarnya yang meminati dan ingin menghidupkan kembali muzik ‘rock kapak’.
Sementara itu, Mar yang sering mendapat peratusan undian tertinggi pada minggu-minggu sebelum ini berjaya memukau penonton apabila menyampaikan lagu nyanyian Agnes Monica, Karena Ku Sanggup dengan penuh penghayatan.
Lontaran vokal yang jelas dan yakin diberikannya mendapat pujian daripada juri tetap, iaitu Datuk Hattan yang menyifatkan Mar sebagai seorang peserta yang mempunyai roh dalam nyanyiannya.
Bagi Mar pula, dia sama sekali tidak menyangka akan berpeluang untuk ke pentas akhir memandangkan saingan terdekatnya, Nadeera, telah memberikan persembahan yang terbaik pada malam tersebut.
“Saya menganggap pada malam ini rezeki lebih memihak kepada saya. Saya akan cuba untuk membuat yang terbaik pada malam final nanti,” ujar gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Sabah ini.
Selaku juri profesional, Ziana Zain pula menegaskan bahawa dia berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh keempat-empat peserta pada malam itu dan menganggap kesemua peserta telah memberikan persembahan yang terbaik.
“Namun, adat pertandingan ada yang akan mara ke peringkat seterusnya dan ada yang tersingkir, jadi kepada yang layak ke final saya harapkan mereka ini akan memilih lagu yang bersesuaian dengan vokal mereka.
“Selain itu, mereka juga perlu menitik-beratkan aspek-aspek lain seperti kesihatan, tidur yang cukup serta dari segi pemakaian dan imej perlu diambil kira jika ingin menjadi seorang penyanyi yang disukai ramai,” ujarnya.
Program realiti yang dihoskan oleh pengacara terkenal, Faizal Ismail ini turut menampilkan penyanyi Mas Idayu dan komposer terkenal, Azmeer sebagai penasihat vokal.
Ia masih mengekalkan format pemarkahan kepada dua bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional dan 50 peratus lagi undian penonton.
Juara akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM100,000, manakala naib juara pula akan menerima wang tunai bernilai RM30,000.
Peringkat akhir Vokal Bukan Sekadar Rupa akan berlangsung pada 26 Disember ini (Rabu), pukul 9 malam di TV3.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: