Thursday, December 13, 2012

Tiga dituduh bunuh peniaga gerai R&R

TIGA tertuduh kes bunuh Abdul Talib dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh semalam.


TEMERLOH - Seorang tukang masak bersama dua rakannya didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh selepas merompak seorang peniaga gerai dalam kejadian di Kampung Baru Simpang Sanggang di sini pada September lalu.
Mohd. Hairie Abdul Jalil, 28, Mohammad Ridzuan Khaidir, 22, dan seorang remaja berusia 16 tahun dituduh bersama-sama membunuh Abdul Talib Yadin, 56, di Jalan Melati, Kampung Baru Simpang Sanggang, Temerloh di sini pada pukul 1.30 pagi 14 September lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa di hadapan Majistret Dazuki Ali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd. Hairie yang berasal dari Kampung Tebing Tinggi Sanggang, Mohammad Ridzuan dari Felda Jengka 19, Maran dan remaja berkenaan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Januari 2013 dan kesemua tertuduh tidak dibenar ikat jamin.
Sementara itu, Mohd. Hairie atau dikenali sebagai KK mengaku tidak bersalah atas dua lagi tuduhan melakukan rompakan di Lot Kampung Belangka, Jejawi dan No. 78, Taman Bahagia Intan di sini masing-masing pada pukul 9.40 pagi 26 Julai 2012 dan pada pukul 2.30 pagi 20 Julai lalu membabitkan kerugian yang kesemuanya berjumlah RM20,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: