Friday, December 7, 2012

Teknik menyimpan maklumat

TANPA keupayaan menyimpan dan menguruskan maklumat, segala yang dibaca mungkin tidak mampu 'didaftar' dalam ingatan. - Gambar hiasan


SEMPENA musim cuti persekolahan ini, ramai ibu bapa yang mengambil peluang untuk membawa anak-anak bercuti.
Ramai juga yang mengambil peluang ini untuk memerhatikan kerja sekolah atau pelajaran anak-anak mereka.
Tulisan kali ini cuba untuk memberikan sedikit tip bagi membolehkan ibu bapa memahami konsep dan kaedah maklumat disimpan dalam ingatan.
Ini sekurang-kurangnya boleh membantu kita untuk mengetahui sebab sesetengah pelajar mampu cemerlang dalam peperiksaan, manakala ada yang bermasalah.
Umumnya, proses minda kita menggelintar maklumat yang dikenali sebagai heuristics. Heuristics ini berlaku bagi setiap manusia. Misalnya, apabila kita secara tidak sengaja terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Bagi mereka yang pernah mengalami kemalangan jalan raya sebelumnya, mereka mampu menangani perasaan cemas yang dialami. Mereka tahu siapa yang patut mereka hubungi dulu, misalnya ahli keluarga, syarikat insurans dan sebagainya.
Sebaliknya, bagi yang pertama kali mengalami kemalangan jalan raya, mereka begitu cemas. Mereka seolah-olah tidak tahu apa yang patut dilakukan.
Ini kerana mereka tidak menyimpan sebarang maklumat sebelumnya, yang boleh membantu minda menggelintar maklumat dengan cepat.
Begitu jugalah apabila pelajar mengikuti peperiksaan atau ujian. Mereka akan diam seketika sebaik sahaja membuka kertas soalan. Ini kerana mereka cuba menggelintar semula maklumat atau pengetahuan yang mereka telah pelajari sebelumnya.
Bagi mereka yang mampu menyimpan maklumat secara bijaksana, mereka mampu menggelintar maklumat dengan cepat. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak menyusun maklumat secara sistematik, masa yang lebih panjang diambil untuk mengingat semula sesuatu yang dipelajari.
Simpan secara sistematik
Inilah masalah yang dihadapi oleh kebanyakan anak-anak kita. Mereka tidak mempunyai kemahiran untuk menyimpan maklumat yang telah mereka baca atau pelajari.
Misalnya, mereka membaca 200 patah perkataan daripada satu-satu topik ulang kaji. Mereka yang tidak sistematik, akan menyimpan semua 200 patah perkataan ini tanpa mampu memisahkannya dalam bentuk 'kelompok' yang akan memudahkan mereka mengingat semula.
Katakan kita diberi senarai 10 barang yang perlu dibeli di kedai seperti bawang, ikan, udang, tomato, kobis, garam, gula, kunyit, sotong dan kopi. Ia akan menjadi sesuatu yang sukar diingati kerana ia kelihatannya sangat banyak. Kita perlu mengingatnya semula satu persatu apabila sampai di kedai.
Bagaimanapun, keadaan mungkin berbeza sekiranya kita mampu menyimpan semua barangan ini dalam bentuk kelompok atau folder. Misalnya, kita membina kelompok 'sayur' bagi menyimpan maklumat berkaitan dengan bawang, tomato, kobis dan kunyit.
Kita senaraikan ikan, udang dan sotong ke dalam kelompok 'haiwan laut'. Sebaliknya, garam, gula dan kopi disimpan ke dalam kelompok 'hablur'.
Ini bermakna, kita hanya perlu menghafal tiga perkara sahaja iaitu sayur, haiwan laut dan hablur. Sebaik sahaja tiba di kedai, kita buka semula semua barangan yang ingin dibeli berdasarkan kelompok.
Ia lebih mudah, jika dibandingkan kita menghafal semua 10 barang secara serentak.
Begitu jugalah yang berlaku kepada pelajar kita apabila membaca. Setiap kali ingin memulakan pembacaan, mereka telah menghitung puluhan bab yang perlu dibaca, lebih 200 halaman atau kira-kira 10,000 patah perkataan.
Ini menyebabkan mereka merasakan tidak lagi terdaya untuk mengingat semula apa yang ingin dibaca. Akhirnya mereka akan membaca secara leka, atau tidak membaca langsung.
Hakikatnya, sekiranya mereka membina kelompok, atau folder, 10,000 patah perkataan itu mungkin boleh diringkaskan menjadi beberapa ratus patah perkataan sahaja untuk diingati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: