Thursday, December 13, 2012

Teater muzikal Ali Baba cabar Aznil, Fizo

FIZO (kiri) dan Aznil berganding dalam teater muzikal Ali Baba yang bakal dipentaskan bermula 21 hingga 29 Disember ini di Istana Budaya.


TEATER muzikal Ali Baba versi kanak-kanak pernah dipentaskan pada tahun 2006. Kini teater yang diilhamkan daripada filem Ali Baba Bujang Lapok itu kembali ke pentas Istana Budaya pada musim cuti persekolahan ini iaitu 21 sehingga 29 Disember ini.
Bezanya, teater muzikal Ali Baba 2012 ini menampilkan versi dewasa dengan Fizo Omar sebagai Ali Baba dan Elfira Loy untuk karakter Marjinah.
Watak ketua penyamun bagaimanapun masih kekal milik Aznil Nawawi seperti pementasan sebelum ini.
Menurut Aznil, penglibatannya dalam teater muzikal Ali Baba umpama rezeki terpijak kerana dia tidak menyangka akan menyandang semula watak ketua penyamun.
“Sebenarnya sudah lama saya tidak muncul di pentas teater selepas The Secret Life of Nora. Memang saya terkejut apabila mendapat tahu mengenai tawaran watak ketua penyamun buat kali kedua.
“Saya ingat dapatlah jadi hero, rupa-rupanya tetap sebagai penyamun,” katanya sambil ketawa.
Beritahu Aznil, teater muzikal Ali Baba versi dewasa lebih mencabar berbanding versi kanak-kanak.
“Bayangkan dahulu saya bebas melakukan apa sahaja kerana pelakon lain semua kanak-kanak. Mereka tidak membantah atau merungut, ikut sahaja rentak saya, itu yang seronok.
“Sekarang lebih berat kerana saya perlu bekerjasama dengan pelakon dewasa yang lebih serius. Apa yang saya boleh katakan watak ketua penyamun penuh warna dan kelucuan,” katanya yang bimbang tidak lagi cergas untuk menari dan berlari kerana usianya kini menjangkau angka 50 tahun.
Fizo menyanyi
Pelakon utama teater ini, Fizo Omar tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila menerima watak Ali Baba.
Sebelum ini, Fizo pernah beraksi di pentas teater menerusi teater muzikal Siti Di Alam Fantasi, tetapi cuma membawa watak sampingan. Dipilih sebagai pelakon utama merupakan satu penghormatan buat dirinya.
“Terpilih untuk membintangi teater ini adalah satu penghargaan bagi saya. Bukan mudah untuk saya mendapat peluang sebegini.
“Jadi, saya perlu fokus kepada latihan untuk menghidupkan watak Ali Baba versi saya. Saya akui memang agak mencabar kerana harus menari dan menyanyi, tetapi apabila diberi tanggungjawab saya harus melaksanakannya sebaik mungkin,” balas Fizo yang tidak sabar untuk bergandingan dengan Aznil.
Bercakap tentang nyanyian, Fizo mengaku sedikit bimbang kerana dia bukanlah seorang penyanyi. Bagaimanapun dia yakin dengan tunjuk ajar pengarah dan pelakon lain, dia mampu menyanyi dengan baik di hadapan penonton.
“Saya bukan penyanyi, tetapi menerusi teater ini saya boleh baiki mutu vokal saya. Saya cuba cabar diri sendiri, memang saya bukannya boleh menyanyi dengan sempurna, tetapi untuk sedap di halwa telinga mungkin boleh,” katanya yang sudah memulakan latihan pada 1 Disember lalu.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, harapan beliau melihat pementasan tersebut berjaya dan mendapat sambutan amat besar.
“Semua sedia maklum, pementasan ini adalah kejutan dalam kalendar Istana Budaya kerana pihak yang sepatutnya mengadakan pementasan pada tarikh tersebut telah menarik diri.
“Pemilihan teater muzikal Ali Baba dilihat bertepatan kerana ia sebuah karya yang tidak ditelan zaman.
“Tambahan, ia merupakan kesempatan baik dalam musim cuti sekolah ini kerana ibu bapa dapat membawa anak-anak berhibur dengan menyaksikan pementasan ini,” katanya ketika sidang media teater muzikal Ali Baba di Istana Budaya baru-baru ini.
Tiket pementasan teater muzikal Ali Baba yang berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100 boleh ditempah menerusi talian box office iaitu 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: