Siti Saleha Mohd Baharom (Saleha)
Tampil dengan drama terbaru Terlanjur Cinta di TV9 bergandingan dengan Aqasha, gadis berasal dari Klang Selangor ini dilamar pula membintangi filem Mamak Cupcake arahan Woo Ming Jin, pemenang anugerah Filem Pendek Terbaik (Sonje Award), Festival Filem Antarabangsa Pusan, Korea 2010.
Sepanjang kariernya, Saleha membintangi 15 telefilem, 12 drama bersiri dan tujuh filem yang kini menanti tarikh tayangan. Menilai setiap drama mahupun filem dilakonkan, jelas watak gadis malang seperti mangsa cinta, baik mahupun bertudung menjadi terlalu sinonim dengan dirinya.
Ketika ditemui di sesi fotografi khas bersama SELEBRITI, Saleha secara peribadi menyedari hakikat ini dan dia menganggap watak diberikan penerbit mahupun pengarah kepadanya agak ‘submissive’ (individu yang selalu patuh).
“Saya tidak dapat mengelaknya kerana daripada maklum balas diperoleh, memang itu watak digemari penonton kita. Sebagai pelakon, tidak kira apa watak, saya harus melaksanakannya dengan baik. Jika penonton suka, bermakna saya berjaya menzahirkan watak berkenaan,” katanya.
Di sebaliknya, Saleha akui watak yang dibawakan selama ini, jauh berbeza dengan sikap dirinya yang sebenar. Secara jujur, katanya, dia berpegang kuat kepada semangat feminisme (fahaman yang menuntut persamaan hak wanita seperti dinikmati lelaki).
“Kalau saya berada dalam situasi watak yang dilakonkan di mana sering dianiaya lelaki, memang sudah lama saya tinggalkan. Tidak perlu buang masa dan wanita harus bijak supaya tidak menganiaya diri sendiri,” katanya.
Waktu sama, boleh dikatakan hampir kebanyakan watak dilakonkan Saleha menampilkan dirinya sebagai wanita sopan dan bertudung.
Mengenai penampilan watak dilakonkan, jelas Saleha, pernah juga timbul kebimbangan apabila ada peminat terlalu taksub tidak boleh menerima dirinya, terutama apabila melihat penampilan berbeza dengan watak dijayakan.
“Ketika mula-mula terbabit dalam dunia seni, saya terlebih dulu menjadi peragawati dan pernah memenuhi undangan menjayakan fotografi fesyen, di mana pakaian digayakan terdedah. Apabila saya menjayakan watak gadis bertudung dalam Nora Elena dan menjadi hit, ada pihak cuba menggunakan gambar terbabit untuk dijadikan isu.
“Sebagai gadis remaja, saya suka bergaya dan pakaian dikenakan bukan menutup aurat keseluruhan. Bagaimanapun, saya juga tidak gemar berpakaian keterlaluan sehingga terlalu terdedah. Tengok pada keadaan dan situasi.
“Apabila menjayakan sesi fotografi untuk majalah, pakaian disediakan lebih awal. Kalau ia dianggap seksi, ia di luar bidang kuasa saya. Namun, setakat ini saya tidak rasa penampilan saya di akhbar atau majalah melampaui batas,” katanya.
Terikat dengan watak ala ‘wanita Melayu terakhir’, jelas Saleha, sebagai pelakon, dia tidak terlalu mengambil pusing perkara itu, sebaliknya yang lebih dititik beratkan adalah kekuatan watak dan cerita di sebalik karakter dijayakan.
“Luarannya, memang penonton akan lihat saya melakonkan watak gadis baik tetapi sebagai pelakon, ada sesuatu yang berbeza mengenai watak terbabit yang menarik hati saya untuk menjayakannya.
“Mengambil contoh drama Terlanjur Cinta, saya difahamkan oleh pengarahnya Erma Fatima bahawa ia berdasarkan kisah benar.
“Watak Baizura mengorbankan diri dan perasaannya bagi menjaga hati orang keliling, termasuk ahli keluarga. Sebaik mendapat skripnya, saya bertanya dalam hati, wujudkah orang sebaik Baizura? Karakter berdasarkan kisah benar itu menarik minat saya.
“Menjayakan drama Terlanjur Cinta memberi saya ruang untuk menyelami hati dan perasaan wanita itu dan watak istimewa sepertinya walaupun dianggap sinonim, namun pada saya, sebagai pelakon, ia tidak boleh dilepaskan begitu saja.
Mendekati karakter penuh warna itu mampu memberi kepuasan kepada pelakon seperti saya,” katanya.
Sebagai pelakon, tentu Saleha turut mengidamkan watak penuh cabaran, antaranya karakter antagonis. Namun ia susah diperoleh.
“Mungkin untuk melunaskan impian itu, saya harus menghasilkan skrip sendiri.
Saya mempunyai cita-cita apabila menyertai bidang seni. Apatah lagi mengikuti pengajian dalam bidang penyiaran, saya mahu tahu selok-belok dunia penerbitan.
Siapa tahu, satu hari saya mampu mengarah drama mahupun filem. Sebagai permulaan, saya harus menulis skrip sendiri.
“Saya memperoleh sumber inspirasi untuk melakukannya menerusi beberapa rakan pelakon, antaranya Sofea Jane dan Sharifah Amani. Kami banyak berbual mengenai perkara ini dan sedikit sebanyak usaha yang mereka laksanakan itu membakar semangat untuk saya mengikuti jejak langkah mereka,” katanya.
Idam pengiktirafan bakat lakonan
SEBELUM ini, Saleha pernah berkata, pembabitannya dalam dunia lakonan bukan mahu mengejar populariti semata-mata. Sebaliknya, dia mengharapkan satu hari bakat dicurahkan akan diiktiraf oleh mereka berpengalaman selaku juri dalam majlis anugerah berprestij.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai pandangannya, gadis berdarah kacukan Inggeris di sebelah ibu dan Melayu di sebelah bapanya berkata, dia masih mengharapkan apa dilakukannya dihargai peminat.
“Memenangi anugerah berdasarkan undian peminat juga pada saya satu pencapaian besar dan sangat bagus. Ia memberi makna bahawa apa dilakukan (dalam bidang lakonan) diterima dan dihargai.
“Cuma bagi saya, membabitkan diri dalam bidang seni bukan untuk memenangi anugerah semata-mata, sebaliknya kerana minat mendalam. Andai bakat dipaparkan itu diiktiraf, ia satu bonus dan penghargaan besar,” katanya.
Bagaimanapun sebagai pelakon, kata Saleha, dia mengimpikan supaya bakatnya dihargai, apatah lagi berpeluang menghadiri acara penganugerahan berprestij seperti Anugerah Skrin baru-baru ini membuatkan hatinya berbunga.
“Melihat rakan seperjuangan naik pentas untuk menerima trofi yang mengiktiraf bakat mereka membuatkan saya juga berazam mahu berjaya seperti mereka. Apatah lagi ia datang daripada pihak juri yang berpengalaman dalam menilai hasil karya dihasilkan.
“Saya tidak menafikan anugerah berdasarkan populariti juga penting kerana ia menjadikan seorang anak seni itu terus relevan dengan penonton sasaran. Peminat penting kerana mereka menjadi penentu kepada kerjaya seni pelakon,” katanya.
Anugerah yang datang daripada undian peminat boleh mengubah kerjaya seni seseorang pelakon dan kerana itu, jelas Saleha, sama ada anugerah yang datang daripada juri mahupun orang ramai sama penting dan mampu memberikan impak kepada anak seni sepertinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: