Baginda Rasulullah adalah pemilik al Syafa'ah al 'Uzma (syafaat agung) yang mampu menjadi penyelesai dan tindakan penyudah membereskan segala kemelut, gegak-gempita dan huru-hara pada hari tersebut dengan penuh belas ihsan dan kasih sayang.
Sesungguhnya benarlah perutusan-Nya ke alam ini sebagai rahmat yang berterusan dan dikecapi manfaatnya di dunia dan di akhirat.
Secara umumnya syafaat terbahagi kepada empat bahagian.
Yang Pertama ialah syafaat untuk mendapat kerehatan daripada huru-hara pada Hari Perhimpunan (Mahsyar) dan mempercepatkan perbicaraan mahkamah keadilan tuhan. Ini adalah suatu kedudukan terpuji yang dijanjikan kepada nabi Muhammad SAW.
Allah SWT berfirman: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada Hari Akhirat di tempat yang terpuji. (al-Isra': 79)
Syafaat kedua ialah bagi golongan yang diwajibkan mendapat seksaan neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan mereka melalui syafaat orang-orang yang dimuliakan-Nya daripada kalangan para nabi, siddiqin, ulama, syuhada dan solihin. Maka mereka masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah SWT.
Yang ketiga syafaat bagi mengeluarkan golongan yang mentauhidkan Allah SWT dari neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan sesiapa sahaja hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sehingga tidak tinggal dalam neraka orang yang terdapat dalam hatinya keimanan walaupun sebesar zarah.
Syafaat yang keempat ialah syafaat bagi menambah darjat golongan yang kurang amal kebajikan untuk menyusuli ahli keluarga mereka. Maka Allah SWT mempertemukan mereka dengan zuriat mereka dan lain-lainnya.
Kesemuanya ini telah dijelaskan melalui nas-nas yang jelas dan hadis-hadis yang sahih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: