Sunday, December 2, 2012

Sambal Sunda paling pedas

KATA pemilik restoran, semakin pedas sambal semakin disukai pelanggan.


WULUJING Sumping dipilih sebagai kata-kata aluan yang dipamerkan pada pintu masuk Restoran Cibiuk yang beroperasi di Kajang, Selangor sejak Oktober lalu.
Membawa maksud selamat datang, ia merupakan cawangan pertama Restoran Cibiuk di Malaysia. Setakat ini ia mempunyai 34 cawangan di Indonesia khususnya di sekitar Jakarta dan Bandung.
Cibiuk, nama sebuah perkampungan di Bandung, terkenal dengan masakan orang Sunda terutamanya sambal. Tidak hairanlah jika restoran ini menyajikan 12 jenis sambal yang dibuat mengikut tahap kepedasannya iaitu daripada 1 hingga 12. Pastinya sambal tahap 12 ialah yang paling pedas.
Menurut pengurus restoran, Yasmin Mansor, makanan orang Sunda kurang berkuah.

Cili merah
“Sambal Sunda popular dengan kepedasannya. Peliknya, semakin pedas semakin pelanggan ingin makan. Walaupun berbeza tahap kepedasan, boleh dikatakan kesemua ramuannya terdiri daripada cili hijau, cili merah dan buah mangga,” terang Yasmin.
Selain itu, pisang goreng bersalut keju serta coklat cair turut menjadi tarikan.
“Kita biasa menikmati pisang goreng tetapi tidak pernah mendengar mengenai pisang keju,” katanya.
Air kelapa durian ala Cibiuk pula jangan dilepaskan.
“Buah kelapa akan dipotong kepada dua bahagian tetapi isi serta sabutnya tidak dibuang. Kemudian, minuman ini dicampur bersama seulas durian, aiskrim vanila dan jeli hijau,” cerita Yasmin.
Makanan lain yang disediakan ialah nasi bakar ayam goreng, paket kasterol nasi liwet dan nasi timbel komplit dengan harga kira-kira RM10,” tutur Yasmin.
Menurut seorang pelanggan, Tariq Abdul Jalil, dia teruja menikmati sambal Cibiuk.
“Semakin terasa pedas semakin kita ingin menikmatinya dengan nasi.
“Kegemaran saya ialah nasi timbel komplit kerana ia lengkap dengan nasi, ayam goreng kampung, tauhu bakar dan sup,” katanya.
Bagi Nurhani Husin, dia menyukai nasi yang rasanya seperti pulut.
“Saya juga tertarik dengan pisang goreng keju yang lazat. Jarang sekali pisang goreng dicampurkan dengan keju serta coklat cair tetapi hasilnya cukup menyelerakan,” katanya.
Perkara lain yang menarik mengenai Cibiuk ialah sebahagian besar pekerjanya, daripada pelayan, tukang cuci, tukang masak hinggalah pengurus merupakan pelajar sekolah tahfiz.
Menurut pemilik bersama Cibiuk Malaysia, Faridah Mansor, perkara itu bertujuan mendedahkan pelajar sekolah tahfiz dengan ilmu keduniaan khususnya perniagaan.
“Mereka boleh menguruskan perniagaan dan berdakwah sekali gus,” Faridah berhujah.

KEPEDASAN sambal diukur daripada tahap 1 hingga 12.


Hafal al-Quran
Tutur beliau, setiap pelajar akan bekerja sekurang-kurangnya selama dua tahun sebelum diberikan modal permulaan untuk membuka restoran.
Katanya, setakat ini di Cibiuk Malaysia terdapat tiga pelajar tahfiz yang dibawa dari Indonesia.
Bagaimanapun, pada masa hadapan pihaknya akan mengambil pelajar tahfiz di negara ini khususnya di Selangor.
“Selain itu, kami akan bekerjasama dengan sekolah tahfiz terbabit supaya mereka bercucuk tanam serta menternak ikan dan ayam kampung untuk dibekalkan kepada restoran kami.
“Ini secara tidak langsung menjana ekonomi sekolah terbabit berbanding bergantung kepada yuran pengajian semata-mata,” katanya.
Seorang pelajar tahfiz, Bubun Bunyamin Qomarudin, 19, berkata, dia pada mulanya agak khuatir tidak dapat menyesuaikan diri.
“Perkara ini jarang dibuat orang tetapi lama-kelamaan saya terbiasa. Malah, saya sempat menghafal al-Quran semasa pelanggan tiada,” ujarnya.
Katanya, dia bekerja dari pukul 9 pagi sehingga 11 malam dengan gaji RM800 sebulan.
“Sebaik sahaja habis bekerja, saya akan menghafal al-Quran termasuk sebelum solat Subuh,” katanya.
Bagi Hasanuddin Nordin, 28, dia agak lambat belajar di sekolah tahfiz jika dilihat pada usianya.
“Dahulu saya jahil malah gagal membaca al-Quran dengan lancar tetapi restoran ini memberi saya peluang bekerja sambil belajar.
“Jika diizinkan Tuhan, saya ingin mengumpulkan modal sebelum menubuhkan sekolah tahfiz di Indonesia menjelang umur 35 tahun,” azamnya.
Lain pula tekad Muhammad Rizal Fadilah, 19, yang berharap dapat membuka sebuah restoran suatu hari nanti. Katanya, restoran itu juga akan menganjurkan program ceramah keagamaan.
“Pelanggan dapat makan dan mendengar kuliah agama sekali gus,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: