Wednesday, December 5, 2012

Sajian ‘cinta’ Izyan pikat juri


IZYAN HANI MOHD. IZHAM atau Izyan berbangga dengan kemenangannya sebagai juara musim kedua Masterchef Malaysia.


SETELAH bersiaran sebanyak 70 episod, akhirnya, program realiti masakan paling popular, MasterChef Malaysia musim kedua melabuhkan tirainya hujung minggu lalu.
Lebih menarik, buat julung-julung kalinya dalam sejarah MasterChef Malaysia, penonton setia rancangan itu dapat menyaksikannya secara langsung di kaca televisyen menerusi saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134).
Apa yang pasti, kemenangan pada musim kali ini masih lagi berpihak kepada kaum Hawa apabila Izyan Hani Mohd. Izham dinobatkan sebagai juara program yang pada musim pertamanya pada tahun lalu dimenangi oleh Dr. Ezani Farhana Md. Monoto.
Izyan sekali gus mengenepikan dua lagi peserta yang berentap pada episod final iaitu Ng Yeong Hong (Ah Hong) dan Muhd. Fazrul Nizam Anas Anizan (Along).
Kemenangan itu juga membolehkan Izyan membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta trofi dan hadiah peralatan memasak tajaan Panasonic Malaysia berjumlah hampir RM10,000.
“Saya memang tidak sangka dapat pergi sejauh ini hingga dinobatkan sebagai juara.
“Rasa macam bermimpi sahaja sebab peserta-peserta yang lain memang semuanya hebat belaka,” kata Izyan ketika ditemui pada sidang akhbar selepas berlangsungnya Finale MasterChef yang diadakan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Gadis berusia 25 tahun kelahiran Selangor yang juga merupakan graduan dalam bidang Geologi itu berjaya memikat hati juri dengan dua hidangan ciptaannya yang diberi nama Suria Kasih dan Bulan Merindu.
Menerusi menu Suria Kasih, Izyan menampilkan hidangan daging tenderlion, kek lapis bersama pucuk paku bersos kari hijau serta sari buah delima dan salad segar.
Izyan juga menyediakan pencuci mulut yang diberi nama Bulan Merindu iaitu kek kukus coklat bersama crumble dan strawberi serai yang dihidang bersama gramita tembikai berpudina.

IZYAN diapit Muhd. Fazrul Nizam (kanan) dan Yeong Hong sebaik berakhirnya episod Finale MasterChef yang berlangsung pada hujung minggu lalu.


Dalam edisi peringkat akhir itu, tiga peserta berhadapan dengan cabaran untuk menyediakan satu hidangan utama dan satu hidangan pemanis mulut.
Lebih mencabar lagi, tempoh tiga jam diberikan bagi menyiapkan kesemua hidangan untuk dinilai oleh 15 juri profesional termasuk juri tetap iaitu Chef Joe, Chef Adu dan Chef Zubir.
Menurut Izyan, menu yang dihasilkan pada peringkat akhir itu merupakan hasil gabungan ilmu dan tunjuk ajar yang dikutip sepanjang dia berada dalam program tersebut.
Ketika ditanya mengenai perancangannya pada masa depan, Izyan memberitahu dia mahu memiliki restoran sendiri yang mengetengahkan masakan Malaysia.
“Saya juga bercita-cita untuk mencipta food trend iaitu makanan yang saya cipta sendiri.
“Justeru apabila orang lain makan, mereka akan tahu makanan itu saya yang cipta,” ujarnya yang pernah bekerja di pelantar minyak.
Sementara itu, Pengurus Saluran Asto Ria, Raqim Ahmad melahirkan rasa syukurnya dengan sambutan dan sokongan yang diberikan penonton sepanjang program tersebut berlangsung.
“Dengan berakhirnya MasterChef Malaysia musim kedua, terbukti Astro mampu melahirkan seorang lagi juara yang akan menyinari industri kulinari tanah air bahkan ke persada dunia,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: