Rai tarikh 12.12 seratus kali
Othman yang mesra disapa Pak Long memotong pulut kuning bersama adiknya, Ramlah, 74, sempena sambutan hari lahir di Kampung Tanah Liat, semalam.
BUKIT MERTAJAM - Tanggal 12 Disember 1912 menjadi tarikh istimewa buat Othman Daud kerana beliau bukan sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-100 tahun, malah diraikan dengan meriah oleh sanak-saudara dalam satu majlis yang berlangsung, semalam.

Beliau yang mesra disapa Pak Long gembira kerana diberi peluang oleh ALLAH SWT untuk meneruskan kehidupan sejak sedekad lalu berharap agar hubungannya dan saudara-mara akan kekal erat.


Tiada petua kekal sihat

Dalam majlis kesyukuran yang diadakan di kediamannya, anak jati kelahiran Kampung Tanah Liat, Mukim 8 itu memberitahu, tidak ada sebarang petua yang diamalkan untuk kekal sihat.

“Rutin harian adalah seperti biasa di mana selepas menunaikan solat Subuh, saya akan bersarapan dan mengayuh basikal kira-kira satu kilometer untuk mengerjakan tapak sawah yang disewa.

“Kira-kira jam 11 pagi, saya akan pulang ke rumah dan berehat seketika sebelum turun ke sawah semula selepas solat Zohor.

“Selalunya saya akan bersarapan di kedai dan minuman kegemaran yang wajib dipesan setiap hari ialah kopi O,” katanya.

Anak sulung daripada 12 beradik itu mengakui, beliau tidak cerewet dalam memilih makanan dan kebiasaannya, cucur udang dan kuih-muih menjadi menu utama ketika sarapan.

“Kadangkala, saya akan makan tengah hari di luar sekiranya anak saudara saya, Faridah Ariffin (44) sibuk.

“Selesai makan malam, selalunya saya akan tidur selepas selesai solat Isyak,” katanya.

Bagaimanapun, Pak Long mengakui amalan memakan ulam seperti pucuk maman membantunya kekal sihat dan awet muda.

"Sekarang saya sudah jarang amalkan kerana gigi saya sudah tidak ada,” katanya.

Pak Long, yang juga merupakan pembaca setia Sinar Harian mengakui, penglihatannya masih jelas dan tidak memerlukan cermin mata untuk membaca mahupun melaksanakan aktiviti harian.


Tidak mahu berkahwin

Dia yang masih bujang berkata, tidak terlintas di fikirannya untuk berumah tangga dalam usia emas.

“Sejak dahulu lagi, saya tidak teringin untuk berkahwin kerana pengalaman orang sekeliling terutamanya adik-beradik sememangnya berbeza.

“Hubungan antara adik-beradik terjejas disebabkan kehadiran suami atau isteri dalam keluarga, sekali gus meretakkan pertalian erat selama ini.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk bersendirian dan hidup bahagia bersama saudara-mara yang ada,” katanya.

Menurutnya, dia tinggal bersama anak saudara dan anak-anaknya serta masa terluang dihabiskan dengan bersawah mahupun membaca.

“Merekalah tempat saya bergantung dan menumpang kasih sayang, selain jiran-jiran yang turut mengambil berat dan bertanya khabar,” katanya.


Bantuan JKM mencukupi

Sementara itu, Faridah berkata, tidak sukar untuk menjaga bapa saudaranya memandangkan beliau masih kuat tanpa sebarang bantuan.

“Saya bekerja sebagai operator pengeluaran dan sekiranya tidak sibuk, masakan tengah hari akan disediakan untuknya.

“Jika tidak, Pak Long akan makan di luar.

“Kami tinggal bersama dan setakat ini, syukur kerana beliau tidak menghidap sebarang penyakit,” katanya.

Faridah memaklumkan, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan sudah mencukupi untuk menanggung keperluan Pak Long.

Beliau mengerjakan sawah hanyalah untuk mengisi masa terluang kerana sudah biasa tidak duduk diam dan memang itu kerjanya sejak muda,” katanya.