Monday, December 17, 2012

Radhi OAG terajui TRADHI- ©


RADHI mengakui belum memikirkan soal berkahwin semula kerana ingin fokus terhadap kerjaya.


BIARPUN pernah terjebak dengan najis dadah bertahun-tahun lamanya, namun, ia tidak menjadi penghalang bagi pemilik nama Muhammad Radhi Razali untuk terus bangkit mencari sinar kehidupan baharu.
Keputusan yang dibuat oleh penyanyi yang lebih dikenali dengan panggilan Radhi OAG ini untuk mendapatkan rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada tahun lalu benar-benar satu keputusan yang tepat.
Sungguhpun keinginan untuk terus bebas dari dadah bukanlah sesuatu yang mudah bagi penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang ini, bagaimanapun, niatnya untuk berubah ke arah positif itu jelas memberinya seribu satu hikmah dalam rona hidupnya.
Menginjak usia 34 tahun, sememangnya duda anak satu ini sedar dirinya perlu mempunyai motivasi yang lebih utuh untuk mencapai misi baharu yang dirangka dalam hidupnya.
Ketika ditemui baru-baru ini pada Majlis Dialog Harta Intelek anjuran Seniman di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur, Radhi membawa khabar terkini mengenai dirinya.
Bagaimanakah dengan kehidupan Radhi sekarang?
RADHI: Alhamdulillah, hidup saya sekarang semakin baik. Saya masih lagi berulang-alik ke Pengasih untuk mendapatkan rawatan pemulihan secara berterusan. Maklumlah saya ambil benda itu pun sudah bertahun-tahun lamanya. Bukan mudah untuk bebas sepenuhnya daripada najis dadah. Berbagai-bagai dugaan perlu saya tempuhi. Sekarang ini saya kena kuatkan diri daripada terus terjerumus semula ke kancah tersebut.
Bagaimanakah pula dengan perjalanan seni muzik yang pernah anda bawa suatu ketika dulu yang kini sudah lama nampak suram ?
Sekarang ini saya sibuk dengan ahli kumpulan OAG yang baru saya tubuhkan. Terdapat empat orang ahli baharu yang mana masing-masing merupakan pelajar daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Kami sekarang memang giat menjalani latihan muzik bersama-sama.
Setelah bercerai pada 2010, bagaimanakah hubungan anda sebagai seorang bapa dengan anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri?
Saya masih lagi berhubung dan berjumpa dengan anak saya. Biarpun sudah berpisah dengan isteri, namun, saya tetap meluangkan masa untuk berjumpa dengan anak saya setiap minggu.
Sudah hampir tiga tahun anda hidup menduda bersendirian dan khabarnya anda sudah ada pengganti.
Ya, pengganti itu sudah ada. Saya sudah berkawan dengan seorang gadis selama tiga tahun dan sekarang kami masih lagi berkawan.
Tidak adakah perancangan untuk mengakhiri zaman duda dengan mengikat tali perkahwinan bersama gadis tersebut?
Mahu itu memang mahu. Namun, saya tidak tahu lagi bila saya akan berkahwin semula. Buat masa sekarang, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya terlebih dahulu selain mahu betul-betul sembuh daripada ketagihan dadah.
Pernah tak kekasih hati anda itu menyuarakan hasrat untuk berkahwin dan apa pula kata keluarga pihak kekasih?
Dia ada juga bertanya bila nak masuk meminang, tetapi saya masih lagi belum mahu fikir ke arah itu. Saya mahu fokus kepada kerjaya dahulu. Orang kata biarlah kita ikut flow. Mereka (keluarga kekasih) faham situasi saya, dan boleh menerima saya.
Tidak bimbangkah kekasih hati nanti beralih arah kepada orang lain?
Kalau betul-betul ada jodoh, tidak akan ke mana. Cuma sekarang ini dia kena bersabar sikit. Tapi setakat ini dia amat memahami situasi saya. Sekarang ini masing-masing sibuk dengan kerjaya. Lagipun dia masih lagi muda, baru 18 tahun.
Apakah misi anda sekarang?
Saya sekarang sudah tidak mahu toleh ke belakang lagi untuk imbau kisah silam. Saya mahu bina hidup baharu. Tahun 2013 saya akan mula meneraju syarikat TRADHI–© yang saya tubuhkan untuk mengurus hal ehwal kerjaya muzik saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: