Sunday, December 2, 2012

Perabot import berukir penyejuk mata




SI PEMILIK, Azizah A. Karim, 52, sudah sedia menanti di muka pintu tatkala penulis menjejakkan kaki di pekarangan banglo dua tingkat berwarna putihnya.
Dari luar, aura mewah dan klasik sudah terbayang. Ternyata, susun atur dan rekaan perabotnya berjaya menghidupkan konsep Inggeris klasik dengan baik sekali.
“Semasa mengubah suai rumah ini tiga tahun lepas, saya dan suami bersepakat untuk mengetengahkan konsep Inggeris klasik,” ujar Azizah memulakan perbualan.
Baginya, gabungan elemen klasik dan Inggeris akan mewujudkan suasana damai selain memberi kesan mewah kepada keseluruhan ruang.
Hiasan fabrik dengan corak bunga-bungaan yang dipadankan dengan kemasan kabinet kayu putih dan krim menyerlahkan aksesori dan ornamen yang dipamer.
Ukiran
Setiap perabot seperti sofa, meja kopi dan rak pinggan mangkuk juga mempunyai ukiran halus bermotifkan bunga-bungaan.
“Saya gemarkan sesuatu yang mempunyai ukiran dan bunga-bungaan kerana ia cantik dipandang.
“Sebab itulah semua perabot dalam rumah ini memiliki ukiran di salah satu sudut meskipun sedikit.
“Saya tidak kisah untuk berhabis wang membeli perabot kerana kepuasan yang diperoleh apabila melihat sususannya yang sempurna di rumah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” ujar Azizah yang gemarkan perabot dan hiasan yang diimport dari Mesir, England, Sepanyol dan Itali.
Mata penulis tertancap pula pada lampu candelier yang tergantung di ruang tamu utama.
Candelier yang bertatahkan bola-bola kristal dan berwarna keemasan itu menyuntik elemen mewah, namun klasik.
Menurut Azizah, lampu hiasan itu dibeli dari Mesir berserta beberapa keping kain kelambu Kaabah sulaman tangan.
“Bukan sahaja kelambu Kaabah yang menggunakan sulaman tangan, malahan permaidani di rumah ini juga hasil jahitan tangan. Bagi saya kerja tangan lebih halus dan cantik,” ujar wanita yang memiliki perniagaan menjual kereta tempatan dan import ini.
UKIRAN dinding menjadi titik tumpu berhampiran tangga ke tingkat atas banglo dua tingkat ini.


Di ruang tamu kedua pula, set sofa berwarna krim kekuningan yang dibawa dari Itali, langsir rona coklat, almari hiasan, pinggan mangkuk dan cermin berwarna putih menjalin kesinambungan secara harmoni.
Limpahan cahaya lampu candelier yang juga berukirkan bunga menambah kesan dramatik yang cuba ditonjolkan pemilik.
Melangkah masuk ke bilik bacaan yang terletak bersebelahan ruang tamu utama, di situ terdapat sebuah meja bacaan buatan Itali berserta lampu meja ringkas yang menggambarkan diri korporat dan kerjaya pemiliknya.
Untuk bilik tidur anak perempuan Azizah yang berumur 25 tahun, elemen klasik Inggeris ditonjolkan sebaik mungkin.
Daripada katil sehinggalah almari, meja solek dan perhiasan lampu meja, semuanya menitikberatkan corak bunga dan warna krim.
Meja makan
Bagi ruang makan, terdapat set meja makan lapan kerusi di situ.
“Set meja makan ini merupakan yang paling mahal antara semua perabot dalam rumah ini kerana harganya mencecah puluhan ribu ringgit,” ujar Azizah.
Turut diletakkan di situ ialah sebuah rak kaca yang diisi pelbagai jenis hiasan dan peralatan pinggan mangkuk gaya Bohemian.
Tingkat atas rumah itu menempatkan bilik tidur utama, bilik tidur anak-anak serta bilik menonton.
Perasaan kagum menyelinap masuk ke dalam diri sebaik sahaja melihat set bilik tidur kepunyaan anak lelaki Azizah.
Katil, meja solek dan almari pakaian yang berunsurkan kayu menyuntik elemen klasik Inggeris yang mewah.
Suatu pemandangan redup dan damai dapat dirasakan di dalamnya. Perabot dan permainan warnanya juga bertepatan dengan fungsinya sebagai bilik tidur.

CANDELIER bebola kristal yang dibeli dari Mesir dan kain kelambu Kaabah menyuntik elemen mewah dan klasik.


Jika ahli rumah ini ingin beriadah, sebuah gimnasium mini di ruang tamu tingkat atas sedia menanti.
Pada akhir pertemuan, Azizah tidak lokek berkongsi impiannya untuk membina sebuah taman berkonsepkan Inggeris.
“Saya mengimpikan sebuah taman kecil di laman rumah yang mempunyai tumbuh-tumbuhan herba, air terjun dan gazebo.
“Kita sering melihat orang membina gazebo yang bercirikan Bali, tetapi bagi saya gazebo stail Inggeris lebih kemas,” ujarnya.
Tambah beliau, segala tatarias kediaman itu adalah hasil perbincangan dan minat serupa yang dikongsinya bersama suami.
“Sebab itulah kami tidak perlu menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman kerana idea dan minat kami berdua berjaya menghidupkan suasana yang diingini.
“Prinsip Rumahku Syurgaku yang kami terapkan sejak dahulu telah mencapai matlamatnya memandangkan kami sekeluarga berasa gembira dan tenang apabila melangkah masuk ke dalam rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: