Monday, December 17, 2012
Parti LDP kembali berkuasa di Jepun
TOKYO - Parti Liberal Demokratik (LDP) kembali berkuasa apabila memenangi pilihan raya Jepun semalam selepas kekalahan mengecewakan tiga tahun lepas.
Kemenangan itu dilihat memberi peluang cerah bagi bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe untuk memperjuangkan agenda keselamatan dan ekonomi.
Parti LDP dijangka melaksanakan pendirian lebih tegas terhadap wilayah pertikaian dengan China, dasar pronuklear dan kemungkinan memperkenalkan dasar kewangan serta perbelanjaan fiskal untuk mengatasi deflasi dan isu mata wang yen yang kukuh.
Keputusan pengiraan undian oleh stesen televisyen menunjukkan LDP memenangi hampir 300 dari 480 kerusi parlimen di Dewan Perwakilan.
Parti sekutunya, New Komeito dijangka memenangi kira-kira 30 kerusi.
Ia akan memberikan kedua-kedua parti itu majoriti dua pertiga di parlimen.
Kepimpinan tertinggi LDP dan New Komeito mengesahkan mereka akan membentuk pakatan bersama.
Pengiraan undian menunjukkan Perdana Menteri Yoshihiko Noda yang mewakili Parti Demokratik Jepun (DPJ) memenangi hanya 65 kerusi.
Parti DPJ yang memenangi pilihan raya pada 2009 berjanji memberi lebih tumpuan yang lebih kepada kebajikan pengguna dan mengurangkan birokrasi.
Seorang eksekutif parti DPJ, Kohei Otsuka memberitahu stesen televisyen NHK, Noda dijangka meletak jawatan kerana kekalahan tersebut.
Kebanyakan pengundi berkata, DPJ gagal memenuhi janji-janji pilihan raya.
Kepimpinan Noda dikatakan bergelut untuk mentadbir dengan baik dan gagal mengatasi bencana gempa bumi termasuk tsunami yang berlaku pada Mac tahun lalu serta kerosakan loji tenaga nuklear.
Tsunami yang berlaku di barat laut negara tersebut menyebabkan sebuah loji tenaga nuklear di Fukushima mengalami kerosakan.
Noda juga meluluskan kenaikan cukai jualan yang menimbulkan kemarahan rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: