MENARA Alor Setar merupakan menara komunikasi ke-22 tertinggi di dunia.
|
MENIKMATI keindahan sawah padi, sungai dan laut dari Menara Alor Setar yang berketinggian 165.5 meter sememangnya memukau pandangan mata, apatah lagi pada waktu petang ketika matahari terbenam. Menara Alor Setar terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar, manakala kira-kira lima kilometer dari Lebuh raya Utara-Selatan.
Bangunan yang menelan kos sebanyak RM40 juta itu menjadi mercu tanda negeri Jelapang Padi sejak dibuka pada tahun 1997. Menara telekomunikasi ke-22 tertinggi di dunia dan kedua tertinggi di Malaysia itu mempunyai tiga tingkat termasuk pelantar pemandangan yang terletak pada ketinggian 88 meter di atas paras laut.
Pada aras itu pengunjung berpeluang menikmati pemandangan negeri Kedah menerusi lima set binokoular automatik yang disediakan.
Restoran berputar
Pengurus Besar Menara Alor Setar, Hariyati Tahir berkata, dua tingkat lagi iaitu restoran berputar yang terletak pada ketinggian 94 meter di atas paras laut. Ia menyajikan makanan dari dapur Restoran Berputar D'Saji Skyview.

TERDAPAT lima set binokular yang disediakan untuk kegunaan pelancongdi Menara Alor Setar.
“Restoran berputar menyediakan hidangan makan tengah hari, minum petang dan makan malam dalam suasana romantik di samping pengunjung berpeluang menikmati keindahan dari tingkap menara.
“Restoran yang diuruskan Felda D’Saji Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya, D’Saji Restaurant & Cafe mampu memuatkan 220 orang,” ujarnya.
Tingkat atas yang berketinggian 100 meter di atas paras laut pula dikenali sebagai Mega View Banquet Hall. Hariyati berkata, kemudahan dewan disediakan di aras ini yang memuatkan 150 orang dalam satu-satu masa.
Katanya, kebiasaannya dewan tersebut digunakan untuk pelbagai majlis termasuk perkahwinan dan seminar.
“Aras ini merupakan tingkat yang boleh digunakan untuk pelbagai acara kerana ia mempunyai empat bilik termasuk ruang karaoke,” katanya.

JIKA ada kelapangan masa, nikmati makan malam dan sesi karaoke di Mega View Banquet Hall, Menara Alor Setar.
Selain dapat menikmati pemandangan pusat bandar raya, pengunjung juga boleh menikmati panorama indah Gunung Jerai, Kuala Kedah dan sebahagian Pulau Pinang dari setiap ruang Mega View Banquet Hall.
Jumlah pengunjung yang meningkat setiap tahun menjadikan Menara Alor Setar sebagai lokasi pilihan pusat pelancongan utama di Alor Setar.
Selain pelancong tempatan, Menara Alor Setar turut menerima kunjungan pelancong luar termasuk Thailand, Indonesia dan Singapura.
“Bayaran yang dikenakan itu hanyalah untuk menikmati keindahan di pelantar pemandangan sahaja, manakala caj naik ke restoran berputar akan disertakan di dalam bil,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: