Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin berkata, dia kecewa apabila lagu baru ciptaan mereka tidak dimainkan dikebanyakan stesen radio utama di negara ini sehingga menyebabkan dia tertanya-tanya apakah punca sebenar perkara itu berlaku.
"Ramai orang bertanya dengan saya kenapa Pretty Ugly tidak menghasilkan lagu atau album terbaru walaupun hakikatnya kami ada mengeluarkan sebuah album pada tahun lalu dan single baru berjudul Dia Milikmu namun ia tidak dimainkan di stesen radio.
"Jadi saya tertanya-tanya apakah yang dimahukan oleh stesen radio baru boleh lagu kami diputarkan? Malah bukan saya sahaja mengalami masalah ini tetapi ramai juga artis lain yang turut menerima tempias sama," ujarnya kepada mStar Online.
Neves ditemui selepas majlis pelancaran Karnival Cinta Muzik Selangor dekat sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Neves berkata, walaupun terkilan dengan perkara tersebut namun meraka tidak pernah berputus asa kerana sangat menyayangi bidang muzik yang telah diceburi selama 11 tahun.
Kata Neves, mereka terpaksa menggunakan cara lain seperti menerusi Youtube, Facebook, Twitter dan medium sosial lain untuk mendapatkan perhatian peminat dan menghebahkan info terbaru kumpulan itu.
"Ada juga rasa nak ubah muzik mengikut aliran semasa tetapi bimbang pula dikatakan meniru artis lain tetapi jika mengekalkan genre yang menjadi identiti kita sejak sekian lama dituduh sudah lapuk pula.
"Tetapi itu tidak mematahkan semangat kami kerana percaya akan ada ruang untuk kami bertapak selagi ada permintaan peminat," jelasnya.
Sementara itu, Neves berkata, Pretty Ugly bakal muncul dengan sebuah single terbaru berjudul No.1 duet bersama kumpulan Altimet selewat-lewatnya awal tahun 2013.
Neves berkata, dia berharap kolaborasi itu nanti akan mendapat perhatian peminat dan stesen radio untuk memutarkan lagu mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: