Friday, December 7, 2012
Nasib R2, Dadidu dan Pimai
SETELAH tiga minggu bersaing, 11 kumpulan yang terbabit dalam Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012) sudah mula menunjukkan peningkatan dalam persembahan masing-masing.
Berbanding persembahan dua minggu sebelumnya apabila hanya beberapa kumpulan yang menonjol, pada saingan yang berlangsung minggu lalu menyaksikan para penonton terhibur dengan persembahan setiap kumpulan.
Apabila pihak Astro menetapkan tema parodi untuk persembahan pada minggu ketiga, ternyata ia tidak sukar buat mereka menghasilkan idea yang kreatif yang menghiburkan.
Bagaimanapun, selepas keputusan diumumkan oleh Najib Ali selaku salah seorang juri tetap, ia menyaksikan tiga peserta yang berada pada tangga terbawah masih merupakan kumpulan yang sama iaitu R2, Dadidu dan Pimai.
Cuma ketiga-tiga kumpulan tersebut dilihat masih lagi bernasib baik dan berpeluang meneruskan saingan memandangkan proses penyingkiran hanya akan berlaku pada minggu keempat iaitu malam ini.
Salah seorang wakil kumpulan R2, Rahim Mat Ali ketika ditemui berkata dia dan pasangannya, Ridhzuan Mat Ali mengakui agak gelisah dengan keputusan yang diumumkan.
“Kami sudah berusaha melakukan yang terbaik, tetapi mungkin belum rezeki kami untuk keluar daripada zon penyingkiran. Namun begitu, ia langsung tidak mematahkan semangat kami berdua.
“Saya melihat peluang setiap kumpulan masih lagi terbuka untuk mengelak daripada tersingkir pada minggu hadapan. Jadi, kami akan lebih fokus untuk persembahan yang akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh semua peserta.
Ujarnya, apabila saingan sudah memasuki minggu yang ketiga, rata-rata kumpulan yang bertanding kini sudah mula panas dan banyak peningkatan yang telah dilakukan.
“Buat masa ini semuanya masih lagi terselamat dan mereka ada masa untuk meningkatkan lagi mutu persembahan masing-masing. Bebanan akan mula dirasai pada minggu hadapan kerana penyingkiran sudah mula dilakukan.
“Mengenai proses penyingkiran pula, kesemua markah akan dikumpul dari minggu pertama sehingga keempat, namun saya tidak boleh memberitahu sama ada berapa kumpulan yang akan disingkirkan nanti,” jelasnya.
Setelah berakhirnya saingan pada minggu ketiga, kumpulan Jozan masih lagi mengungguli carta teratas oleh markah sebanyak 14 peratus, diekori rapat dengan Jambu (10 peratus) dan Boboi (10 peratus).
Selain itu, kumpulan Saywho yang berasal dari Indonesia berada pada kedudukan keempat dengan markah 10 peratus dan diikuti Sabon (sembilan peratus), Shiro (sembilan peratus).
The Bandung Jokers (sembilan peratus), Balas (lapan peratus), R2 (lapan peratus), Dadidu (tujuh peratus) dan Pimai (tujuh peratus).
Saingan terbuka
Melihat kepada jumlah peratusan markah yang diperoleh setiap kumpulan bertanding tidak jauh berbeza, bolehlah dianggap persaingan bagi mengelak daripada tersingkir masih lagi terbuka.
Penyanyi Awie yang turut dilantik sebagai juri tetap MLM 2012 menegaskan tidak mustahil kumpulan yang kini sedang berada di bawah mampu terselamat minggu hadapan.
“Saya ingin menasihatkan kepada semua peserta supaya tidak berasa terlalu selesa dan perlu berjaga-jaga, malah saya tidak akan terkejut sekiranya berlaku sebarang keputusan di luar jangkaan apabila tiba minggu penyingkiran sebenar.
“Jadi semua kumpulan perlu menampilkan idea atau lawak yang lebih menarik dan positif,” jelasnya.
Najib Ali pula menyatakan, terdapat kumpulan yang tampil dengan konsisten. Dia menyifatkan Jambu sebagai peserta terbaik pada minggu ketiga.
“Kepada tiga kumpulan yang kini berada pada kedudukan tangga terbawah, sesuatu perlu dilakukan segera dan mereka perlu tampil dengan lawak yang lebih menghiburkan sekali gus dapat menambat hati penonton,” ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: