Wednesday, December 5, 2012

Nad Zainal tidak berahsia


FIGURA cantik ini memberitahu dia teringin untuk berlakon dalam drama atau telefilem epik dan perang.


MENYERLAH sepanjang tahun 2012, Nad Zainal, 22, merupakan salah seorang bintang baharu yang paling mencuri perhatian ramai menerusi kualiti lakonannya.
Bermula dengan slot sitkom bersiri khas TV3, Memberku Hawa yang menggandingkannya dengan pelakon Faezah Elai, Nad semakin dikenali menerusi drama Bukan Bidadari. Terkini, dia muncul dalam telefilem sedang hangat ditayangkan di TV3, Putera Rayyan.
Seiring dengan kerjayanya yang meningkat naik, Nad tidak terlepas diburu dengan kisah peribadi. Sementelah dia sendiri sudah beberapa kali dilihat membawa kekasihnya yang hanya dikenali dengan nama Azwan ke majlis-majlis yang dihadirinya.
Kosmo! yang berkesempatan bersua muka dengan pasangan itu pada majlis resepsi Diana Danielle dan Farid Kamil di Taman Ekuestrian Putrajaya pada 1 Disember lalu mendapatkan kenyataannya berhubung status mereka.
Kosmo!: Nad nampak tidak kekok membawa teman lelaki ke beberapa acara sejak kebelakangan ini. Tidakkah anda takut ditohmah oleh orang sekeliling mahupun peminat?
NAD: Saya dan Azwan (teman lelaki) berkenalan sudah hampir dua tahun dan diakui saya bukan jenis orang yang suka berahsia. Bagi saya, tidak ada yang perlu disorok. Lagipun kami hadir ke majlis terbuka. Kalau kami dilihat bersama selalu ke kelab malam atau menghadiri parti sosial, barulah boleh dikatakan kontroversi. Emak saya percayakan dia dan saya rasa selamat bersama dia.
Ada perancangan untuk ke langkah seterusnya? Mungkin mengikat tali pertunangan terlebih dulu?
Buat masa sekarang belum ada sebarang perancangan lagi. Perjalanan kami masih jauh dan mahu fokuskan kerjaya terlebih dulu. Dia banyak membuat kerja-kerja di belakang tabir dan secara tidak langsung kami pun lebih kerap berjumpa.

NAD bersama kekasihnya, Azman. Mereka telah bercinta selama dua tahun tetapi belum mempunyai perancangan untuk berkahwin.


Bagaimanakah anda melihat perkembangan kerjaya pada tahun ini? Adakah anda sudah berpuas hati?
Saya tidak pernah berpuas hati dan mahukan lebih daripada apa yang sedang saya lakukan sekarang. Saya sudah berada dalam industri ini sejak tahun 2007 dan ketika itu tiada siapa perasan saya pun. Bagaimanapun, situasinya mula berbeza kini. Alhamdulillah, apabila rajin berusaha insya-Allah pintu rezeki kita akan dipermudahkan.
Apakah watak idaman anda yang masih belum tercapai sehingga sekarang?
Kebanyakannya saya sudah dapat peranan yang diimpikan. Cuma saya teringin berlakon drama atau filem epik dan perang yang memerlukan saya memakai kostum lama.
Bagaimanakah pula dengan watak air mata? Adakah anda selesa sekiranya suatu hari nanti sentiasa ditawarkan watak berat?
Jujurnya, saya lebih senang sebenarnya menjadi diri sendiri. Saya seorang yang periang dan untuk menggalas watak-watak berat, sebenarnya agak susah sedikit buat saya. Bagaimanapun saya tidak kisah sekiranya ditawarkan watak air mata, cuma nanti perlu ada fasa keseimbangan untuk menerima watak-watak ringan sekali sekala.
Selain drama bersiri Putera Rayyan yang sedang ditayangkan di TV3 sekarang, apakah perkembangan terkini anda?
Saya baru habis penggambaran filem Kami Histeria bersama Fazura dan Diana Danielle. Kini saya baru memulakan penggambaran telefilem Cinta bersama Zahiril Adzim. Selain itu, sitkom Memberku Hawa musim kedua juga akan muncul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: