Wednesday, December 12, 2012

Minyak pelincir tiruan dibongkar


MOHD. YUSOFF menunjukkan minyak pelincir tiruan yang dibotolkan dengan jenama terkenal selepas serbuan di sebuah stor di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam malam kelmarin.


SHAH ALAM – Sebuah syarikat pengeluar minyak pelincir dipercayai mampu mengaut keuntungan besar dengan hanya menjual minyak pelincir motosikal tiruan menggunakan jenama terkenal di sekitar Lembah Klang sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awam, taktik licik itu terbongkar malam kelmarin selepas sepasukan pegawai dan anggota daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor menyerbu sebuah stor di Kampung Bukit Lanchong di sini.
Stor yang disewa pengusaha syarikat terbabit dijadikan tempat simpanan dan operasi pemindahan minyak pelincir motosikal tiruan ke dalam botol minyak jenama terkenal seperti Shell, Yamaha, Honda, Castrol dan Motul sebelum dijual pada harga pasaran.
Penolong Pegawai Perihal Dagangan PPDNKK negeri, Mohd. Faruk Abdul Wahab berkata, dalam operasi selama 12 jam bermula pukul 5.30 petang, pihaknya merampas 3,120 botol dan 10,000 liter minyak tiruan bernilai lebih RM100,000.
Menurutnya, lima lelaki berumur 30-an terdiri daripada tiga warga Myanmar dan dua Indonesia yang merupakan pekerja stor ditahan bersama seorang lelaki tempatan berumur 40-an disyaki pemilik syarikat terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: